fbpx

Kerajaan AS kena ‘scam’ lebih RM208 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG RAMAI melakukan pembelian panik di sebuah pasar raya di Richmond, California pada 13 Mac 2020 selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik. - AFP

WASHINGTON – Sebuah agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyatakan kelmarin bahawa penipuan tuntutan elaun pengangguran semasa pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan kerugian lebih AS$45.6 bilion (RM208.3 bilion) sekali gus lebih tinggi daripada anggaran sebelum ini.

Pejabat Ketua Inspektor (OIG) di Jabatan Buruh AS berkata, pihaknya mendakwa lebih 1,000 individu kerana menipu dengan menuntut bayaran insurans pengangguran (UI) walaupun mereka tidak layak mendapat manfaat itu.

“Pendakwaan 1,000 individu kerana penipuan UI dan penipuan pembayaran berjumlah AS$45.6 bilion membayangkan betapa besarnya masalah ini.

“Penipu-penipu ini mengambil dana UI dengan memfailkan tuntutan elaun pengangguran di berbilang negeri menggunakan e-mel palsu atau menggunakan identiti orang yang sudah mati ataupun banduan. 

“Dana pandemik berjumlah ratusan bilion dollar telah menarik perhatian penipu-penipu untuk mengeksploitasi program UI,”  kata Inspektor Besar OIG, Larry D. Turner dalam satu kenyataan.

Menurut OIG, penipuan itu berlanjutan dari Mac 2020 hingga April 2022, manakala amaran berulang kali tentang isu tersebut kepada Pentadbiran Pekerjaan dan Latihan menyaksikan agensi kerajaan AS terbabit gagal mengambil tindakan sewajarnya.

Anggaran kerugian baharu itu adalah hampir AS$30 bilion (RM137 bilion) lebih tinggi berbanding anggaran sebelumnya pada Jun 2022.

Semasa permulaan pandemik Covid-19, Kongres AS melaksanakan program bantuan kewangan besar-besaran dengan memberikan elaun kepada berpuluh-puluh juta pekerja yang diberhentikan.

Beberapa pegawai ketika itu berkata bahawa sesetengah program bantuan itu mempunyai kelemahan tetapi kerajaan kata mereka, perlu mengagihkan bantuan pada kadar segera.

Menurut OIG dalam laporannya, program bantuan oleh kerajaan persekutuan semasa pandemik koronavirus telah menjadi ‘sasaran bernilai tinggi’ untuk dieksploitasi oleh penipu dan kumpulan penjenayah. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI