fbpx

29 pengusaha stesen minyak telah dikenakan tindakan – KPDNHEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman

PUTRAJAYA – Seramai 29 pengusaha stesen minyak di seluruh negara telah dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati menjual petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, sebanyak 52 aduan telah diterima pihaknya berhubung kejadian penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing sejak awal tahun ini sehingga semalam.

“Daripada aduan yang diterima, sebanyak 29 kes telah berjaya dihasilkan susulan pemeriksaan dan siasatan yang dilakukan di mana antara kesalahan yang dikesan adalah pelanggaran di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kes tertinggi direkodkan adalah di Johor dengan 10 kes diikuti Kelantan (lapan), Kedah (lima), Sarawak (tiga), Perlis (dua) dan Melaka (satu),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman berkata, KPDNHEP akan melihat kepada beberapa perkara sebelum sebarang tindakan diambil termasuklah melihat langkah-langkah yang telah diambil oleh stesen minyak tersebut dalam usaha mengelakkan berlaku penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

“Ada kes di mana berlaku juga penjualan walaupun langkah-langah pencegahan telah diambil jadi kita akan lakukan siasatan menyeluruh termasuklah melihat rekod jual beli, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan sebagainya,” jelas beliau.

Menurut Azman, pihak KPDNEHP tidak akan berdiam diri sekiranya masih ada pengusaha stesen minyak yang didapati menjual bahan bakar bersubsidi itu kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran luar.

“Pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan bahan bakar itu tidak dijual sewenang-wenangnya kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

“Operasi penguatkuasaan bagi memastikan perkara itu tidak berlaku juga turut dipergiatkan dalam usaha memastikan tiada ketirisan berlaku melibatkan penjualan petrol RON95 dan diesel di negara ini,” tegas beliau.

Tambah Azman, pengusaha stesen minyak yang dikesan melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 112) dan didenda tidak melebihi RM1 juta dan RM3 juta untuk kesalahan berikutnya.

“KPDNHEP tidak akan berkompromi dan pengusaha stesen minyak diminta sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas,” ujar beliau.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI