fbpx

Wanita Alabama saman McDonald’s RM59 juta dakwa hidang kopi ‘kimia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita mendakwa dihidangkan cecair kimia dan bukan kopi semasa menerima pesanan pandu lalu di McDonald’s Alabama. - Fortune

HOUSTON – Seorang wanita di negeri Alabama, Amerika Syarikat (AS) mengemukakan saman AS$13 juta (RM59 juta) ke atas sebuah restoran makanan segera McDonald’s atas dakwaan dihidangkan cecair kimia berbahaya, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.

Plaintif iaitu Sherry Head mendakwa kejadian berlaku pada Disember 2020 apabila dia membuat pesanan kopi perisa Caramel Machiato menerusi sistem pandu lalu di salah sebuah francais McDonald’s di Alabama.

Bagaimanapun, jenis minuman yang diterima bukan kopi tetapi cecair kimia berbahaya, dakwanya.

Perkara itu disedari Head apabila meneguk cecair tersebut yang dikatakan digunakan untuk membersihkan mesin pembuat kopi, sejurus menerimanya daripada kakitangan pandu lalu.

“Saya teguk sedikit sahaja cecair itu dan tekak serta mulut serta-merta menjadi kebas selain tekak seperti terbakar.

“Akibat kejadian itu, saya mempunyai kesan parut kekal di kerongkong dan mungkin memerlukan pembedahan,” jelasnya.

Peguambela Head, Alyssa Baxley berkata, pekerja restoran tidak datang membantu walaupun selepas pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian.

“Apabila responden pertama tiba, pekerja McDonald’s enggan membantu, menafikan permintaan daripada kakitangan perubatan untuk menunjukkan kepada mereka botol bahan kimia yang dihidangkan kepada Sherry  walaupun dia memerlukan rawatan kecemasan,” kata Baxley.

Ganti rugi  yang dituntut termasuk  pampasan AS$3 juta (RM13.7 juta) dan ganti rugi punitif AS$10 juta (RM45.6 juta).

Sementara itu, wakil restoran francais McDonald’s berkenaan memaklumkan telah menerima surat tuntutan saman dan akan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Kesihatan serta keselamatan pelanggan dan pekerja kami sentiasa menjadi keutamaan. Sejurus selepas mengetahui insiden ini, kami telah menjalankan siasatan menyeluruh untuk memahami fakta kes. 

“Kami dimaklumkan aduan telah difailkan di mahkamah di Houston County, Alabama,” kata pemilik dan pengendali restoran terbabit, Gerry Murphy. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI