PETALING JAYA – Desas-desus tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal diadakan pada penghujung tahun ini semakin bertiup kencang apabila pelbagai andaian muncul ketika ini.
Bulan November menjadi tarikh yang dikatakan paling sesuai untuk diadakan PRU-15 selepas pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober nanti.
Penganalisis politik Prof. Dr. Fauzi Abdul Hamid berkata, ternyata pilihan bulan November nanti satu tempoh masa yang menarik, namun itu hanya desas-desus samata-mata.
“Memang pada November sudah bertiup kencang katanya PRU-15 akan diadakan, ini berkait spekulasi selepas Belanjawan 2023 diumumkan pada awal Oktober nanti.
“Perlu diingatkan, jika PRU-15 terus diadakan selepas, itu makanya Belanjawan 2023 tersebut tidak akan bermakna kerana belanjawan itu dibuat melalui beberapa parti pemerintah yang lain,” ujarnya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, jika dilihatkan kepada kesesuaian masa kemungkinan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob akan terbubar mengikut tempoh matang yang selayaknya iaitu pada Mei 2023.
“Bagi saya paling sesuai adalah pada bulan Mei 2023 nanti, ini kerana kejayaan demi kejayaan telah ditunjuk oleh Perdana Menteri kita ketika ini.
“Beri dia peluang terdahulu, dengan tempoh masa yang cukup saya yakin dia mampu membawa Malaysia kepada keadaan asal seperti sebelum ini.
“Jika dikatakan ekonomi tidak kuat, bagi saya iklim ekonomi seluruh dunia juga masih teruk tetapi negara kita sudah kembali pulih di bawah pemerintahan Perdana Menteri, beri dia peluang sedikit masa lagi,” jelasnya.
Jelas beliau, ketika ini juga jika diperhatikan rakyat semakin suka dan gembira dengan cara kepimpinan Ismail Sabri dengan tidak mencampuri urusan kluster mahkamah yang semakin hangat diperkatakan.
“Kalau kita lihat yang mendesak ketika ini adalah daripada kalangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), biar Perdana Menteri pertimbangkan dari segala sudut terlebih dahulu.
“Sayang jika momentum yang ada pada pemerintahan Perdana Menteri sekarang dihentikan secara tiba-tiba dengan kehadiran PRU-15, jika diingini rakyat Ismail Sabri masih memerintah selepas ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














