fbpx

Perlu RM200,000 baiki jalan Pos Balar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SYAHBUDDIN meninjau keadaan laluan ke Pos Balar yang rosak di Gua Musang baru-baru ini.

GUA MUSANG – Peruntukan lebih RM200,000 diperlukan bagi membaik pulih jalan yang menjadi penghubung utama kawasan penempatan Orang Asli di Pos Balar di sini yang sudah bertahun-tahun dalam keadaan daif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, sebanyak dua laluan di kawasan Pos Balar telah dikenal pasti mengalami kerosakan dan penduduk bia­sanya akan melakukan kerja-kerja membaiki jalan secara bergotong-royong.

Katanya, kos tersebut hanya melibatkan jalan sahaja dan tidak termasuk pembinaan jambatan.

“Jika kita tunggu jalan perhubungan desa yang diluluskan dalam Ranca­ngan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan mengambil masa yang agak lama. Buat masa ini, kita masih tidak mengetahui status sebenar pembinaan jalan itu.

“Jadi, penduduk akan baiki segera dengan kaedah sapu jalan dahulu kerana kita tahu penduduk sukar keluar ke bandar Gua Musang dan melaksanakan aktiviti harian mereka kerana jalan yang rosak teruk,” katanya kepada pemberita di Pos Balar di sini semalam.

Menurut Mohd. Syahbuddin, pihaknya akan memulakan kerja membaiki jalan dua hala iaitu dari Pos Hau ke Pos Balar dan Pos Bihai ke Pos Balar dalam masa terdekat.

Katanya, dia memahami kesusahan masyarakat Orang Asli khususnya ketika musim tengkujuh yang perlu melalui jalan rosak dan berselut.

“Saya sudah melihat sendiri kerosakan jalan yang dihadapi oleh 4,000 penduduk Orang Asli dan juga para guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar dan SK Bihai di sini.

“Saya harap perkara ini mendapat perhatian segera oleh pihak yang berwajib. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Raza­leigh Hamzah juga berharap kerja pembaikian dapat dilakukan segera kerana musim tengkujuh akan tiba,” katanya.

Sebelum ini, lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di 13 buah kampung di Pos Balar di sini merayu pihak kerajaan menaik taraf jalan perhubungan kampung mereka.

Orang Asli berkenaan berdepan masalah kerosakan jalan balak yang teruk sejak lebih 50 tahun lalu sehingga menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian mereka.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI