Oleh Noor’Ain Mohd. Annoer
PADA akhir bulan lalu, saya bersama lapan orang rakan dari Malaysia berpeluang mendaki Gunung Rinjani (Rinjani) yang terletak di Pulau Lombok, Indonesia.
Menariknya, misi pendakian ke puncak gunung berapi berketinggian 3,726 meter dari aras laut itu turut disertai oleh seorang pendaki dari Indonesia dan Brunei.
Perjalanan kami bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 menggunakan pesawat AirAsia menuju ke Lombok yang memakan masa selama hampir tiga jam.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, kami meneruskan perjalanan menuju ke Desa Sembalun selama dua jam menggunakan van. Sepanjang laluan, kami disajikan dengan panorama indah Rinjani dari jauh.
Kami memilih untuk merehatkan diri dengan bermalam di salah sebuah inap desa di situ sambil melakukan persiapan diri dan peralatan bagi memulakan misi menawan Rinjani.
Seawal pukul 8 pagi, kami terus memulakan pendakian dari kaki gunung menuju ke Pelawangan yang memakan masa antara lapan hingga 10 jam. Untuk makluman, Pelawangan merupakan pos untuk para pendaki bermalam.

DANAU Segara Anak bukan saja memilik pemandangan menarik, malah menjadi tumpuan pemancing.
Sebelum sampai ke Pelawangan, para pendaki perlu melepasi dua pos istirahat terlebih dahulu.
Sepanjang pendakian, kami disajikan dengan pemandangan hamparan padang rumput (savanah) yang luas.
Memandangkan pendakian kali ini dikenali sebagai ‘foto trip’, maka kami banyak menghabiskan masa ketika perjalanan dengan merakam gambar dan video menarik dibantu ketua ekspedisi yang juga jurufoto terkenal, Yusuf Madi.
Kami tiba di Pelawangan sekitar pukul 6 petang dan menghabiskan masa untuk makan serta berehat.
Suhu di Pelawangan sangat sejuk iaitu antara lapan hingga 16 darjah Celsius, jadi baju tebal harus dipakai sepanjang masa.
Kami cukup bertuah kerana segala peralatan diperlukan di Pelawangan seperti khemah dan makanan disediakan sepenuhnya oleh potter yang telah ditugaskan.
Pada sebelah malam, kami berpeluang merakam pemandangan cukup indah dikenali sebagai milky way. Ia merupakan pemandangan jalur cahaya kabur di langit dengan berlatar belakangkan Rinjani.
Sebaik jam menunjukkan pukul 2 pagi, kami berkumpul semula bagi memulakan pendakian ke puncak Rinjani yang memakan masa sekitar empat jam.
Baru saja memulakan pendakian, kami diarahkan untuk kembali ke khemah masing-masing.

Kami difahamkan pihak berkuasa tempatan terpaksa menutup laluan ke puncak Rinjani bagi melakukan kerja mengeluarkan mayat seorang pendaki dari Portugal yang mati selepas terjatuh dari tebing curam.
Rentetan itu, kami bermalam di khemah sebelum bangun sebelum subuh bagi menikmati pemandangan matahari naik dari Pelawangan.
Pemandangan indah yang disajikan pada pagi itu sedikit sebanyak menjadi pengubat kedukaan kami yang terlepas peluang menjejakkan kaki di puncak Rinjani buat kali pertama.
Selepas sarapan, kami memulakan perjalanan turun melalui Torean yang jarang-jarang digunakan pendaki kerana mengambil masa lama sekitar 10 hingga 12 jam untuk sampai ke kaki gunung.
Laluan ini menuntut kami melalui laluan berbatu di lereng gunung.
Menariknya pada pertengahan perjalanan, kami dapat menikmati pemandangan mengasyikkan Danau Segara Anak.
Danau seluas 1.1 hektar dengan kedalam 230 meter itu terbentuk akibat letusan besar Gunung Rinjani pada tahun 1257. Danau ini sering menjadi tumpuan pemancing tempatan. Kami disajikan dengan kejernihan air danau yang kebiruan berlatarbelakangkan anak Gunung Barujari.
Kami memilih untuk bermalam di kawasan danau sebelum turun keesokan harinya. Seawal pukul 9 pagi, kami meneruskan perjalanan dan tiba di kaki gunung pada sebelah petang.
Meskipun terasa kecewa tidak dapat berada di puncak, namun pengalaman mendaki dan turun Rinjani sudah cukup mengujakan. Pastinya, saya akan kembali semula untuk menawan puncak Rinjani selepas ini.

KEINDAHAN milkyway cukup mengujakan apabila dilihat dari Pelawangan.
Pendakian Rinjani tidak terlalu memenatkan seperti mendaki gunung-gunung lain, selain kosnya yang agak murah iaitu sekitar RM1,300 termasuk tiket penerbangan.
















