fbpx

Awie, Hattan, Hazama dilantik duta Anti-Scam PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HATTAN, Awie dan Hazama antara artis popular yang dilantik sebagai duta Anti-Scam PDRM.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Datuk Awie, Datuk Hattan dan Hazama merupakan antara selebriti yang dilantik sebagai Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sebuah majlis yang berlangsung di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, semalam.

Tiga selebriti popular itu turut dianugerahkan sijil pelantikan yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 54, mengakui peranan yang dipikulnya bukan mudah tetapi dia berbangga kerana diberi kepercayaan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang jenayah penipuan.

“Ini bukan tugas yang mudah dan bukan sijil itu yang dikejarkan. Tetapi peranan membendung atau paling tidak mengurangkan jenayah penipuan ini berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Dahulu musuh utama kita adalah dadah tetapi sekarang scammer. Kita tak kenal scammer, kadang-kadang kekasih sendiri pun sebenarnya scammer sebab kenal menerusi aplikasi media sosial.

“Jadi saya berharap kempen ini akan dapat membuka mata orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan scammer yang tidak bertanggungjawab ini,” kata Awie.

Sementara itu, penyanyi Hazama turut berbangga kerana menyertai barisan duta yang lain dalam memberi kesedaran kepada orang ramai kerana ibunya sendiri pernah hampir menjadi mangsa penipuan.

Ujar penyanyi lagu Di Amaran Mama itu, kejadian berlaku apabila ibunya menerima panggilan telefon, bagaimanapun dia bersyukur kerana ibunya bukan seorang yang mudah terpedaya dengan sindiket berkenaan.

“Ibu saya pernah hampir nak jadi mangsa tapi nasib baik dia cepat-cepat letak telefon bila dah rasa lain macam.

“Jadi, dengan lantikan ini saya akan terus menyebarkan mengenai jenayah scam agar orang ramai tidak mudah tertipu lebih-lebih dalam kalangan warga tua,” kata Hazama.

Selain Awie, Hattan dan Hazama, beberapa selebriti tempatan lain turut dilantik menggalas tugas serupa seperti Aedy Ashraf, Sara Ali, Diana Danielle, Pablo Amirul dan Khai Bahar.

Selain selebriti, beberapa atlet juga diberi peranan menjadi duta anti scam seperti Datuk Wira Lee Chong Wei, Lee Zii Jia serta pemain beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI