PETALING JAYA – Fenomena La Nina yang mempengaruhi curahan dan intensiti hujan lebat ketika ini dijangka berpanjangan sehingga awal tahun 2023 sekali gus memberi ancaman berlakunya puting beliung serta hujan batu di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, negara sedang mengalami kesan perubahan iklim akibat dari pemanasan global yang menyebabkan potensi berlakunya cuaca ekstrem semakin meningkat.
“Adakalanya sesuatu fenomena cuaca itu berlaku diluar dari tempoh kebiasaannya. Contohnya, cuaca ekstrem adalah ribut petir bertambah kuat sehingga boleh menghasilkan puting beliung dan hujan batu.
“Sekiranya sesuatu kawasan itu berpotensi dilanda ribut dalam tempoh beberapa bulan ini, ia sekali gus memberi ancaman kepada bencana lebih teruk,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Berita berkaitan: La Nina bawa banjir besar November ini
Jelasnya, La Nina mampu menggalakkan proses perolakan udara dan pembentukan awan yang aktif sekali gus menghasilkan ribut petir serta angin lebih kencang disebabkan kekuatan angin timuran.
Terdahulu, MetMalaysia menjangkakan cuaca yang lebih lembab bermula semalam sehingga 30 Ogos ini melibatkan kawasan pantai barat dan pedalaman Semenanjung, Sarawak (tengah dan utara), barat Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.
“Banjir kilat berpotensi untuk terjadi di kawasan berkenaan dan keadaan La Nina yang dijangka berterusan sepanjang tahun menyebabkan rantau Pasifik Barat termasuk negara kita lebih lembab.
“Susulan itu, MetMalaysia meramalkan tidak akan berlaku tempoh hari tanpa hujan yang berpanjangan,” ujarnya.
Tambah Muhammad Helmi, negara akan memasuki fasa peralihan monsun bermula pertengahan September nanti dan seterusnya Monsun Timur Laut pada November mengakibatkan cuaca akan bertambah lembap.
“Secara purata kebiasaannya empat hingga enam episod hujan lebat berterusan akan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac,” katanya.
















