fbpx
PERBUATAN Yang dilarang dalam konteks hadis ini adalah melakukan sesuatu yang menyerupai amalan penganut agama lain. – GAMBAR HIASAN

Meniru perbuatan baik orang bukan Islam dibolehkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya ada seorang kawan yang sentiasa berhujah dengan hadis: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Dengan hadis itu, beliau selalu kata orang lain tidak islamik sebab berpakaian ala Barat atau makan dengan sudu, tidak dengan tangan dan lain-lain lagi. Sejauh manakah penafsiran hadis ini?

Jawapan:

Dalam penghujahan menggunakan sesuatu hadis, terlebih dahulu hendaklah kita semak kedudukan atau status hadis tersebut di sisi muhaddithin (ahli hadis).

Jika hadis itu didapati sabit iaitu berada pada kedudukan (nilaian) sahih atau hasan, maka ia boleh dijadikan hujah dalam agama. Setelah perkara tersebut dipastikan, barulah ke peringkat seterusnya iaitu mengkaji maksud matan (teks) hadis tersebut.

Hadis itu berbunyi: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka.” Ia diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; Abdullah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik.

Hadis ini secara umumnya memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau puak yang terpuji maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji. Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik, maka dia dianggap dalam kalangan mereka.

Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut, maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk.

Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.

Hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk puak ataupun agama tertentu, maka hadis ini tidak berkaitan.

Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum.

Pakaian yang dipakaian oleh mereka yang bukan Muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu juga makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu, garpu atau copstik, berjaket, berumah ala Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.

Kesimpulannya, kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk.

Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau sesuatu yang tidak memberi imej yang buruk jika menirunya.

Sementara pula meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun daripada bukan Muslim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN