fbpx

Rugi RM50,000 atap rumah diterbangkan ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah Anita terjejas teruk susulan kejadian ribut di Kampung Tanjung Berangan, Sepri.

REMBAU – Seorang penduduk tidak menyangka kunjungannya ke Floria Diraja Putrajaya 2022 hari ini menyelamatkan nyawa dua beranak ekoran atap rumahnya diterbangkan ribut dalam kejadian di Kampung Tanjung Berangan, Sepri di sini, lewat petang tadi.

Kejadian sekitar pukul 6.30 petang itu menyebabkan Anita Abdul Wahab, 59, mengalami kerugian lebih RM50,000 namun, dia bersyukur apabila terselamat daripada ditimpa palang yang jatuh ke bawah.

Anita berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh anaknya yang mendapat panggilan kecemasan dari kampung.

“Rumah ini dibina di hadapan rumah emak saya lebih enam tahun lalu. Disebabkan anak-anak ramai, jadi saya ambil inisiatif mendirikan rumah dengan sebuah bilik, dapur dan juga tandas.

“Allah sebaik-baik perancangan dan saya reda dengan kejadian ini. Buat masa ini, saya akan menetap di rumah emak yang turut terjejas, namun hanya di bahagian dapur sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Penyelaras DUN Chembong, Nasarudin Ibrahim yang meninjau lokasi kejadian memaklumkan, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil tindakan memotong bekalan elektrik utama buat sementara waktu.

Ia berikutan atap yang terbang turut terkena tiang elektrik selain mengambil kira keselamatan penduduk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI