fbpx

KPDNHEP Taiping tahan lelaki seleweng 2,000 liter minyak diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lori yang ditahan penguat kuasa KPDNHEP Taiping semalam.

TAIPING – Tindakan seorang lelaki mengisi minyak berulang kali di beberapa stesen minyak di sini disyaki untuk menyeleweng barang kawalan itu terbongkar apabila dia ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Taiping semalam.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, penahanan lelaki itu adalah susulan satu operasi harian yang dilaksanakan KPDNHEP Taiping kira-kira pukul 4.30 petang di stesen minyak di sekitar Taiping.

“Tindakan bermula apabila pemerhatian anggota penguat kuasa KPDNHEP mendapati sebuah lori membuat pengisian berulang kali di beberapa stesen minyak di sekitar kawasan pemantauan.

“Mengesyaki terdapatnya berlakunya penyelewengan, pemeriksaan ke atas lori telah tersebut telah dilakukan. Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifullizan berkata, pihaknya turut mengesan terdapat enam buah tangki fiber disyaki berisi minyak diesel disimpan di dalam lori berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati saluran tangki asal minyak lori terbabit telah diubah suai salurannya dan disambungkan dengan enam buah tangki plastik berkenaan.

“Semakan juga mendapati pemandu lori yang berusia 28 tahun itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel. Pemandu lori itu telah ditahan untuk diambil keterangan,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati pemandu kenderaan itu tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol atau diesel dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Terdapat enam tangki fiber diletakkan di bahagian belakang lori berkenaan. Dianggarkan hampir 2,000 liter disyaki diesel telah diisi ke dalam tangki-tangki berkenaan.

“Disyaki lori berkenaan mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak sekitar Taiping sebelum mengumpul minyak diesel tersebut di suatu kawasan di Pulau Pinang sebelum dijual kepada pihak tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, Saifullizan berkata, pasukan pegawai KPDNHEP Taiping telah mengambil tindakan dengan menyita hampir 2,000 liter minyak diesel dari kenderaan berkenaan di lokasi tersebut.

Katanya, kesemua barang rampasan ini dianggarkan berjumlah RM77,300 dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI