fbpx

MPM tangguh denda Notis E

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembayaran boleh dilakukan di kaunter perkhidmatan pelanggan di aras bawah MPM, Seri Manjung.

MANJUNG – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah menangguhkan denda Notis E sehingga 30 September depan bagi pemegang-pemegang harta yang belum melunaskan bayaran cukai taksiran bagi penggal kedua tahun ini.

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, melalui penangguhan itu, Notis E akan dikeluarkan pada 1 Oktober 2022 iaitu berbeza dengan sebelum ini apabila Notis E dikeluarkan mulai 1 September.

“Pelaksanaan penangguhan pengeluaran Notis E ini adalah atas dasar keprihatinan MPM terhadap kesulitan yang dihadapi masyarakat yang masih berada dalam belenggu Covid-19.

“Selain itu, langkah ini juga dilaksanakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia ke-59,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga 31 Ogos lalu, jumlah keseluruhan pegangan tertunggak atau yang masih belum melunaskan pembayaran cukai taksiran ialah 33,207 unit.

Syamsul Hazeman berkata, ia melibatkan kategori pegangan kediaman iaitu 22,853 unit, perniagaan (1,528), strata (4,924) dan lain-lain (3,902).

“Jumlah keseluruhan tunggakan terkumpul ini ialah RM27,938,742 yang melibatkan anggaran RM821,090 Notis E,” katanya.

Beliau berkata, mulai 1 Oktober ini, pemegang-pemegang harta yang gagal membuat pembayaran cukai taksiran akan dikenakan denda Notis E iaitu sebanyak RM20 bagi jumlah tunggakan cukai tidak melebihi RM200 dan RM30 bagi jumlah tunggakan cukai melebihi RM200.

“Sehubungan itu, MPM berharap agar pemegang-pemegang harta mengambil kesempatan ini untuk melunaskan bayaran cukai taksiran dalam tempoh tersebut.

“Bayaran boleh dibuat melalui aplikasi myMANJUNG atau ke Kaunter Perkhidmatan Pelanggan di aras bawah MPM,” katanya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI