fbpx

Polis rakam keterangan Rafizi minggu hadapan isu LCS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eng Lai ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli, pada minggu hadapan bagi merakam keterangannya.

Ia susulan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihak polis sedang dalam perancangan bagi memanggil Rafizi minggu hadapan untuk diambil keterangannya.

“Kita akan memanggil beliau (Rafizi) untuk dirakam percakapan pada minggu depan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Rafizi.

Laporan itu dibuat susulan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Abd Latiff dan seorang wanita bernama Zainab Mohd. Salleh didakwa isteri keduanya turut terlibat dalam penyelewengan projek LCS.

Dalam pada itu, katanya, polis telah merakam keterangan beberapa individu termasuk seorang hakim bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kebocoran dokumen penghakiman perbicaraan berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

“Kira-kira 10 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, kita juga dalam proses siasatan untuk mengesan siapa yang menyebarkan draf kehakiman tersebut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, polis menjalankan siasatan berhubung kes pembocoran dokumen penghakiman perbicaraan Datin Seri Rosmah Mansor.

Eng Lai dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu daripada pegawai undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kejadian itu disedari pengadu ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur apabila dimaklumkan berlaku kebocoran dokumen dalaman sulit yang juga dokumen draf awal disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dokumen itu adalah dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan yang juga pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada Hakim. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI