PETALING JAYA – Pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi sejak beberapa bulan lalu membolehkan orang ramai kembali meneruskan rutin harian di pejabat masing-masing.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan mencari rezeki, rata-rata daripada mereka khususnya yang bekerja di Lembah Klang mengakui terpaksa mengeluarkan kos yang agak besar hanya untuk membayar caj tempat meletak kenderaan.
Tinjauan mendapati, pekerja tersebut tidak mempunyai pilihan ke tempat kerja melainkan dengan memandu kereta memandangkan tempat tinggal mereka tidak mempunyai jaringan kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT) mahupun bas RapidKL.
Lebih menyedihkan lagi, ada kalangan pekerja yang terpaksa berhenti kerja selepas tidak sanggup lagi berhabis antara RM300 hingga RM500 sebulan semata-mata untuk membayar parkir.
Seorang pekerja swasta, Nur Iman, 27, berkata, caj parkir yang dikenakan pengurusan bangunan syarikat tempat bekerja sangat tinggi sehingga dia terpaksa menanggung bebanan kewangan RM300 ke RM400 sebulan.
“Saya sudah tidak sanggup melalui situasi ini dan kini sedang mencari kerja baharu.
“Kalau boleh saya nak cari tempat kerja yang lebih dekat dengan rumah di kawasan Hulu Langat. Bagi saya, tidak berbaloi untuk habiskan duit yang banyak hanya untuk parkir kenderaan,” katanya baru-baru ini.
Nur Iman berkata, walaupun caj parkir yang dikenakan adalah melampau, dia terpaksa menggunakan perkhidmatan tersebut ekoran tiada pilihan lain.
Menurutnya, ketika ini dia perlu membelanjakan kira-kira 10 peratus daripada gaji yang diperoleh setiap bulan hanya untuk membayar parkir.
“Saya juga perlu keluar rumah lebih awal dan terpaksa menghadap kesesakan bagi mengelak parkir yang jumlahnya sangat terhad,” katanya.
Sementara itu, Umi Syafiqah, 26, menyifatkan caj parkir terutama yang dikendalikan pihak swasta dan pemilik tanah persendirian di ibu negara sebagai keterlaluan.
Katanya, untuk kos parkir sahaja, dia terpaksa membelanjakan sekitar RM200 hingga RM350 sebulan.
“Sejujurnya, keadaan ini membuatkan saya agak tertekan ditambah pula dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak menentu ketika ini,” katanya.
Seorang pekerja bank yang mahu dikenali sebagai Jaz, 42, berkata, dia pernah dikenakan caj parkir lebih RM20 hanya selepas beberapa jam membeli-belah di sebuah pasar raya.
Menurutnya, dia juga berasa tidak adil apabila pernah dikenakan bayaran sekali masuk parkir persendirian sebanyak RM10 hanya untuk menjamu selera selama setengah jam di sebuah restoran berhampiran.
“Bayangkan jika kita perlu parkir di tiga tempat parkir kenberbeza dalam sehari, berapa banyak kos yang perlu kami keluarkan,” soalnya.
Rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Fairuz, 42, pula berkata, dia terpaksa memperuntukkan kira RM240 setiap bulan untuk bayaran parkir kereta di tempat kerja.
Jelasnya, jika mahu menggunakan pengangkutan awam sekali pun, dia masih perlu membayar caj parkir di kawasan berkenaan yang agak jauh dari rumahnya.
“Sebelum pandemik Covid-19 tempat parkir selalu saya gunakan RM8 sekali masuk, tetapi naik RM12 selepas syarikat kembali dibenarkan beroperasi. Alasan mereka kos naik. Kos apa?” katanya.














