fbpx

6 nelayan Vietnam dicekup ‘curi’ 1.1 tan ikan di perairan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM memeriksa dokumen pengenalan diri nelayan Vietnam yang ditahan di lokasi 55 batu nautika dari kawasan muara Tok Bali, Pasir Puteh kelmarin. FOTO IHSAN APMM KELANTAN

PASIR PUTEH – Sekumpulan enam orang nelayan warga Vietnam dicekup semasa mereka sedang menangkap ikan secara haram di lokasi 55 batu nautika dari kawasan muara Tok Bali di sini kelmarin.

Bot yang dikemudi oleh seorang tekong dan lima awak-awak itu dikesan berada di perairan negara dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 6.10 petang semasa dua buah bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan Op Khas Naga Barat, Op Khas Gamat dan Op Damai.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, menyedari kehadiran bot peronda APMM, bot yang dinaiki kesemua nelayan itu terus bertindak melarikan diri.

Menurutnya, bagaimanapun, bot peronda APMM berjaya memintas bot tersebut kira-kira 25 minit kemudian sebelum terus menjalankan pemeriksaan.

“Kesemua nelayan berusia antara 32 hingga 52 tahun yang ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan permit kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, mereka sudah menangkap sebanyak 1.1 tan ikan secara haram. Selain tangkapan ikan, kita turut merampas bot kira-kira 500 liter minyak diesel dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM365,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syed Nor Adli, bot dan kesemua suspek dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan di sini kira-kira pukul 9 pagi semalam.

Katanya, kesemua nelayan ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Tambahnya, kes itu turut akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan negara dan Seksyen 16 (3) akta yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI