fbpx

Mahkamah: Sabit salah atau bebas? Nasib Rosmah Khamis ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah keluar dari perkarangan Kompleks Mahkamah Persekutuan Putrajaya selepas mendengar keputusan permohonan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah Solar pada 27 Mei lalu. /FOTO AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Nasib Datin Seri Rosmah Mansor atas pertuduhan rasuah berhubung membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak dijangka ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini Khamis ini.

Keputusan sama ada Rosmah disabitkan atau tidak atas pertuduhan rasuah itu akan diputuskan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang sebelum ini telah selesai mendengar keterangan semua saksi pendakwaan dan pembelaan.

Pada hari tersebut, isteri kepada bekas perdana menteri tersebut bakal menjadi tumpuan negara kerana apa sahaja keputusan dan alasan penghakiman yang diumumkan oleh hakim berkenaan akan membawa impak yang besar terhadap beliau.

Sebelum ini, pada 12 Mei lalu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan untuk memberikan keputusannya pada 7 Julai lalu, bagaimanapun tarikh berkenaan dilapangkan dan dijadualkan semula.

Pada 11 Disember 2020, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk bekas Pegawai Khas Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Kemudian pada 18 Februari 2021 Rosmah diarah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah tersebut selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu.

Pada peringkat bela diri itu, seramai dua saksi iaitu bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan Rosmah sendiri memberi keterangan dan pembelaan menutupnya kesnya pada 23 Februari lalu.

Dalam prosiding sebelum ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah  yang juga isteri Datuk Seri Najib Razak diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 70, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI