BUKAN semua orang berpeluang mencapai impian yang tercetus daripada imaginasi, seterusnya direalisasikannya secara nyata, sama seperti yang Sissy Imann.
Sembilan tahun melalui perih jerih dalam industri, penyanyi yang juga pengacara popular Sissy kini mungkin tersenyum lega apabila menggapai kejayaan peribadi yang tak mungkin akan dilupakan dalam seumur hidupnya. Dia berpeluang menghasilkan album baharu di studio muzik ikonik dunia, Abbey Road Studios, London.
Kepergiannya ke London beberapa minggu lalu pada mulanya hanya untuk bercuti tetapi sebulan sebelum itu, timbul idea untuk mencuba nasib mendapatkan slot rakaman di studio yang sinonim dengan kumpulan legenda The Beatles berkenaan.
Paling istimewa, pemilik nama lengkap Sissy Imann Mohammad Kamil, 26, itu menjadi artis tempatan ketiga yang berpeluang merakamkan lagu di sana selepas Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Kugiran Masdo.
Biarpun begitu, Sissy terbuka andai keputusannya merakamkan lagu di luar negara akan menimbulkan cakap-cakap kurang enak daripada sesetengah pihak kelak yang mungkin menuduhnya berlagak.
Tegas Sissy, jika ada yang berkata demikian, itu semua adalah hak masing-masing untuk memberi pendapat.
“Saya tak boleh nak kata apa dan ubah apa yang mereka ingin fikirkan. Jadi diri sendirilah yang kena berfikiran positif. Ini bukan soal berlagak tetapi lebih kepada mencari kepuasan,” ujarnya.

Kenapa London?
Satu hal yang menjadi pertanyaan, mengapa London dan apakah dia meragui kepakaran studio tempatan sehingga sanggup terbang ke sana?
Jawab Sissy, semuanya berpandukan perasaan dan minat yang mendalam terhadap muzik. Maka, dia sanggup berhabisan wang ringgit dan menguruskan sendiri segala proses rakaman di sana demi mengutip pengalaman.
“Banyak saya dapat pertanyaan kenapa London? Semua ini sebab passion. Memang tak dinafikan, kalau nak dapatkan bunyi seperti di sini (lokal), banyak saja studio bagus di kawasan Kuala Lumpur.
“Tetapi di London, selain Abbey Road Studios itu sendiri, saya nak pengalaman bekerja di luar. Saya mahu rasai pengalaman buat kerja dengan orang luar, memang sangat berbeza,” ujar Sissy yang bagaimanapun tidak mendedahkan tentang kos untuk proses rakaman tersebut.
Kongsi pengacara rancangan Muzik-Muzik itu ketika ditanya tentang perbezaan ketara ketika bekerja di sana, ada banyak perkara yang dirasakannya sangat manis untuk dikenang.
“Kalau studio di sini, penyanyi akan merakamkan lagu mengikut bahagian, contohnya korus terlebih dahulu. Tetapi di sana, cara kerja mereka sangat profesional.
“Sepanjang di sana, saya rakam lagu dari awal sampai habis. Kalau ada rasa tak puas hati dan nak ulang korus, perlu mula dari awal. Ibarat buat persembahan secara langsung,” kongsinya.
Sepanjang di sana, Sissy menghabiskan masa selama 10 jam menjalani proses rakaman enam buah lagu untuk album baharunya.

‘Berani mati’
Boleh dikatakan, pemergian Sissy ke London adalah dengan hasil usaha sendiri menggunakan wang simpanan berkat kerja kerasnya selama ini.
Tanpa berselindung, penyanyi yang memperkenalkan diri menerusi lagu Mungkin Kamu itu mengakui, rezeki dalam karier lain yang membolehkan dirinya menghasilkan album di London.
Senang cerita, pelaburan sendiri Sissy sebenarnya adalah percaturan berani mati biarpun belum diketahui arah rezeki album tersebut sama ada diterima mahupun tidak.
“Bila rakam lagu di sana, saya memang niat untuk diri sendiri. Ini juga untuk segala jerih perih ayahanda yang hantar saya belajar muzik dari kecil. Dia juga banyak melabur untuk karier saya.
“Secara peribadi, ini kejayaan untuk saya. Apa-apa yang datang selepas ini, sama ada lagu diterima atau tidak, saya serahkan segalanya kepada aturan rezeki. Saya cuma buat yang terbaik,” luahnya.
Segalanya sanggup dilakukan Sissy demi mencari kepuasan, malah sebagai tenaga pengajar dalam bidang muzik, dia mengakui pengalaman di sana sangat berharga untuk mengambil secebis ilmu.
“Kena pandang dari sudut lain juga. Saya ke sana selain untuk capai kepuasan sendiri, sebenarnya skil dan pengalaman itu yang sangat mahal.
“Saya mengajar muzik, jadi skil daripada orang di sana yang saya nak dapatkan, termasuk melihat budaya kerja mereka.
“Ditambah pula pengalaman melihat peralatan studio yang canggih,” katanya yang turut berpeluang bermain piano yang pernah digunakan The Beatles di dalam studio berkenaan.

















