DALAM perkahwinan, sikap bertolak ansur antara pasangan suami isteri amat penting bagi mewujudkan keharmonian rumah tangga.
Namun, jika hanya satu pihak sahaja berbuat demikian, pasti perbalahan atau rasa tidak puas hati akan timbul juga satu hari nanti.
Begitulah dirasai oleh seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Zulaika dengan perangi suaminya yang susah untuk bertolak ansur dalam banyak perkara.
Katanya, dalam kehidupan seharian, suaminya akan melebihi ibu dan juga keluarganya.
“Terkadang saya terasa hati dengan sikapnya itu dan menyesal memilihnya sebagai suami,” katanya
yang kini berusia 36 tahun.
Sebelum berkahwin, Zulaika mengetahui suaminya itu boleh dikatakan seorang yang disifatkan ‘anak emak’.
Pada mulanya dia tiada masalah dan gembira kerana suaminya mengutamakan ibu dan keluarganya.
Baginya, dia tidak kisah dengan semua itu, tetapi jangan sampai pendapat dan permintaannya langsung tidak dipedulikan.
“Apabila hidup bersama, baru saya mengetahui hampir separuh daripada wang gaji suami diberi kepada ibunya dan ia dilakukan sejak kami belum berkahwin.
“Setelah berkahwin, dia masih memberi jumlah yang sama, sedangkan kami juga memerlukan wang untuk perbelanjaan harian keluarga,” ujarnya kesal.
Zulaika kemudian meminta suaminya berbincang dengan ibunya dalam hal itu.
Namun ibunya tidak bersetuju dan setiap bulan harus diberikan jumlah sama kerana wang itu diperlukan bagi menyara adik-adiknya yang lain.
“Saya terkejut mendengarnya kerana adik-adiknya sudah besar dan boleh berdikari, mengapa masih mengharapkan abangnya untuk terus menyara mereka?
“Ada ketikanya suami berhadapan dengan masalah kewangan dan gaji saya digunakan untuk menampung keperluan hidup kami berdua,” terangnya.
Menurutnya, kadangkala dia terasa ibu mertuanya tidak faham dengan situasi yang mereka hadapi.
Kata Zulaika lagi, perkara itu tidak terhenti di situ dan apa membuatkan dia geram adalah keluarga suaminya ingin mengikut mereka bercuti di sebuah pulau.
Pada asalnya dia hanya ingin pergi bercuti dengan suaminya, tetapi terpaksa akur apabila suaminya ingin membawa sekali keluarganya.

PERCUTIAN Zulaika dan suami menjadi hambar selepas lelaki itu turut membawa keluarganya sekali. – GAMBAR HIASAN
“Apa yang membuatkan saya sakit hati adalah kos perbelanjaan itu ditanggung sepenuhnya oleh suami.
“Kerana kekurangan wang, suami meminta untuk meminjam kepada saya terlebih dahulu. Saya pula perlu mengeluarkan wang simpanan untuk tujuan tersebut,” katanya.
Malah ketika percutian tersebut, dia melihat suaminya lebih menghabiskan masa bersama keluarganya berbanding dirinya.
Selain itu, Zulaika menjelaskan, setiap kali musim perayaan dia harus menghabiskan masa lebih lama bersama keluarga suaminya.
“Boleh dikatakan, setiap kali Hari Raya Aidlfitri , suami meminta saya beraya di rumahnya terlebih dahulu kerana ibunya meminta berbuat demikian.
“Kadangkala, raya kelima baru boleh boleh pulang ke kampung saya untuk beraya,” ujarnya.
Sebagai isteri, Zulaika terpaksa mengikuti arahan tersebut walaupun hatinya berasa sakit hati dengan suaminya.
Dalam pada itu, Zulaika menceritakan, suaminya pernah meminjam wang daripadanya sebanyak RM10,000 bagi membantu keluarganya untuk mengadakan majlis perkahwinan adiknya.
“Pada mulanya saya berat untuk memberinya kerana tahu amat sukar untuk dia bayar balik.
“Tetapi disebabkan sayang walaupun sakit hati, saya akur dan memberikan wang tersebut kepada suami,” ujarnya.
Selepas setahun majlis itu berlangsung, kata Zulaika, suaminya masih belum lagi membayar hutang tersebut.
Disebabkan semua itu, kerana terlalu kecewa dengan sikap suami yang kurang memberi perhatian kepadanya, Zulaika berasakan perasaan sayang terhadap suaminya itu semakin pudar dan rasa ingin berpisah.
Akhirnya, dia membuat keputusan memberi pilihan kepada suaminya sama ada memilih dirinya atau keluarganya.
“Saya meluahkan segala-galanya tentang apa yang saya rasa dan memberi suami untuk membuat pilihan.
“Saya tidak terkejut selepas suami memilih keluarganya berbanding saya.
“Sebagai penyelesaian, memintanya untuk melepaskan saya,” jelasnya.
Akhirnya, setelah hampir tujuh tahun bersama, Zulaika dan suaminya berdua membawa haluan masing-masing setelah sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri di Pantai Timur.














