fbpx

EPL: Luis Diaz galas harapan besar Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIAZ mengakui semakin serasi bersama Salah dan yakin mampu membantu mengubah nasib pasukan itu. – AFP

LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Luis Diaz mengakui sangat selesa berpasangan dengan Mohamed Salah dan percaya mereka berdua memiliki keserasian untuk membantu mengubah nasib pasukan itu ketika ini.

Pemain antarabangsa Colombia itu menyertai Liverpool pada Januari lalu selepas melengkapkan perpindahan dari Porto dan berjaya membantu kelab itu meraih dua trofi domestik, Piala FA dan Piala Liga Inggeris.

Dia yang memainkan peranan penting membantu Liverpool mara ke pentas final Liga Juara-Juara dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan kedua musim lalu perlu memikul tugas lebih berat musim ini selepas pemergian Sadio Mane ke Bayern Munich.

“Ia menjadi satu kebanggaan dan penghormatan luar biasa buat saya untuk berkongsi posisi yang sama bersama Mo Salah.

“Saya melihatnya sejak beberapa tahun lalu di televisyen dalam banyak kejohanan dan saya mahu mengatakan bahawa sangat berbangga dapat bersama-samanya menyarung jersi yang sama dan menjadi rakan sepasukannya.

“Setiap hari, menjalani latihan bersama Mo dapat membantu anda memperbaiki diri. Bukan sahaja sebagai seorang pemain bola sepak, tetapi juga sebagai seorang manusia,” katanya.

Diaz meledak enam gol dan lima umpanan sepanjang 18 penampilan bersama Liverpool dan sudah menyumbang satu gol menarik ketika menentang Crystal Palace, namun pasukan itu berdepan kesukaran awal musim apabila masih belum mencatat sebarang kemenangan.

“Ia adalah permulaan yang sukar dan bukanlah apa yang kami inginkan. Kami adalah sebuah kelab yang sentiasa turun dengan keinginan mengutip tiga mata dalam setiap perlawanan.

“Namun, ia bukanlah satu masalah melibatkan pemain ataupun pengurus, cuma kami hanya perlu memberikan aksi yang lebih baik,” jelasnya.

Liverpool bakal turun menentang Bournemouth pada aksi keempat malam ini dan tidak mempunyai pilihan kecuali mencatat kemenangan selepas hanya menduduki tangga ke-16 liga setakat ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI