fbpx

Eksekutif petroleum, dua rakan didakwa seleweng minyak pelincir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi ketiga-tiga tertuduh yang didakwa di Kompleks Mahkamah Melaka, hari ini. Gambar RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Seorang bekas Eksekutif Inventori Kanan sebuah syarikat petroleum terkenal dan dua rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan penyelewengan minyak pelincir kenderaan, dua tahun lalu.

Tertuduh Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, 40, serta dua rakannya Mohammad Safiy Khan Muzair Khan, 33, dan Mohd. Zakry Abu Bakar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan terhadap Sheikh Izzuddin, tertuduh sebagai Senior Eksekutif Inventori itu (ketika kejadian) telah diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu minyak pelincir 24,461.43 kg, anggaran harga RM113,000.

Tertuduh bagaimanapun didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah dengan mengalihkan sebahagian minyak milik syarikat dan menyalahgunakannya.

Perbuatan itu dilakukan antara 20 September 2020, kira-kira pukul 9 pagi hingga 1 November 2020 kira-kira pukul 11.16 pagi di kawasan MG3 Melaka Lubricant Sdn. Bhd. (MLBP) Sungai Udang di sini.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohammad Safiy yang bekerja sebagai kontraktor dan Mohd. Zakry anggota polis bantuan masing-masing didakwa bersubahat membantu Sheikh Izzudin untuk melakukan pecah amanah terhadap minyak pelincir berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap Sheikh Izzudin dan Mohammad Safiy, manakala Mohd. Zakry RM15,000.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, Fahmy Sulaiman, Faiezad Razali dan Melvin Tay Yee Shian bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan mereka perlu menanggung ahli keluarga.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Sheikh Izzuddin dan Mohammad Safiy diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap orang, manakala Mohd. Zakry sebanyak RM7,000.

Kedua-dua hakim turut bersetuju menetapkan satu tarikh yang sama iaitu 26 September ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI