fbpx

AJK masjid, surau pantau ajaran sesat di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Shahir (dua kiri) menerima laporan hasil penyelidikan bagi tahun 2021 daripada salah seorang penyelidik (kanan) pada Majlis Penyerahan Perjanjian Penyelidikan Tahun 2022 dan Serahan Laporan Hasil Penyelidikan Tahun 2021 hari ini.

SHAH ALAM – Semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Selangor diminta memantau sepenuhnya sebarang ajaran sesat termasuk ajaran Hadi Minalah.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, kedua-dua institusi penting itu perlu menjadi mata dan telinga di kariah masing-masing kepada pihak berkuasa agama di negeri ini dalam mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

“Sebagai contoh, AJK masjid perlu terus membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) jika ada kuliah yang disampaikan oleh bukan penerima tauliah mengajar.

“Perkara itu penting bagi mengelak kuliah disampaikan itu terpesong daripada ajaran sebenar sekali gus menyebabkan umat Islam terjebak dengan ajaran sesat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Perjanjian Penyelidikan Tahun 2022 dan Serahan Laporan Hasil Penyelidikan Tahun 2021 di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Shahir, pihaknya mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada berikutan terdapat pelbagai ajaran sesat baharu yang dikesan aktif di negeri ini.

“Kebanyakan pengikut terdedah kepada aktiviti ajaran songsang yang mempelajarinya di media sosial.

“Umat Islam mesti kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah supaya tidak menyimpang kepada agama lain selain perlu merujuk JAIS jika tidak pasti tentang isi kandungan ceramah disampaikan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan siasatan lanjut masih dijalankan sama ada ajaran sesat Hadi Minallah melibatkan warga tempatan atau asing.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan dikeluarkan mengenai kewujudan ajaran itu di negeri ini.

Sementara itu, Ahmad Shahir berkata, kajian penyelidikan penganjuran Festival Bon Odori di Selangor dijangka mengambil tempoh masa selama enam bulan untuk diketahui keputusannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI