Rambut merupakan mahkota wanita. Biarpun memakai tudung, penjagaannya tidak harus diabaikan bagi memastikan ia kekal cantik dan terjaga rapi.
Masalah yang kerap dikaitkan dengan wanita bertudung adalah keguguran rambut dan juga keadaannya leper selepas ‘terkurung’ seharian.
Minggu ini, Horizon berkongsi tip dan cara-cara yang betul untuk menjaga rambut khusus buat wanita bertudung.
1. Basuh rambut
Perkara paling asas dalam penjagaan rambut tanpa mengira anda bertudung atau tidak adalah dengan membasuh rambut menggunakan syampu yang bersesuaian dengan jenis rambut.
Sekiranya rambut anda kering dan mudah putus, gunakan syampu yang melembap serta menguatkannya bagi mengelak ia daripada putus.
Rambut seharusnya dicuci selang sehari dan fokuskan kepada membersihkan bahagian kulit kepala yang berminyak.
2. Sikat selepas kering
Setiap kali selepas mencuci rambut, biarkan rambut anda kering sama ada secara semula jadi atau menggunakan pengering rambut lalu disikat.
Rambut yang disikat akan terasa lebih halus dan tidak kusut, menjadikannyaa lebih sihat dan kurang gugur.
Gunakan sikat yang sesuai atau boleh juga menyikat rambut yang sudah kering menggunakan jari.

3. Ikat rambut
Ramai wanita berhijab adakalanya mengikat rambut mereka dalam keadaan basah, lebih-lebih lagi apabila mencuci rambut pada waktu pagi sebelum ke pejabat.
Ini merupakan antara kesilapan yang menyebabkan rambut menjadi mudah putus, selain mengeluarkan bau yang kurang enak.
Sebaiknya, tunggu sehingga rambut kering dahulu sebelum diikat dan memakai tudung bagi mengelakkannya mudah putus dan kekal harum sepanjang hari.
4. Guna serum
Selepas ‘terperap’ seharian, rambut mudah menjadi tidak bermaya, seterusnya menimbulkan masalah lain seperti kelemumur dan keguguran rambut.
Sebaiknya, gunakan serum atau tonik khusus untuk jenis rambut anda bagi memastikan ia kekal sihat dan cantik.
Letakkan serum pada rambut ketika ia masih lembab atau separuh kering, bagi memastikannya menyerap nutrien dan kebaikan pada serum tersebut.

5. Pakai tudung material ringan
Penggunaan tudung dan anak tudung dengan material sesuai seharusnya dititikberatkan wanita berhijab.
Ini memandangkan material tebal dan kasar apabila digunakan secara harian, pastinya memberikan kesan buruk kepada rambut.
Sebaiknya, pilih anak tudung dengan material kapas yang bukan sahaja selesa pada rambut, tetapi menyerap peluh.
Material tudung seperti sifon atau satin sutera pula sesuai dijadikan material tudung harian kerana sifatnya yang lembut, beralun dan tidak panas.














