fbpx

Lee Zii Jia akur ditunjukkan jalan keluar Kejohanan Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEE ZII JIA akur impiannya untuk menjulang gelaran dunia pada tahun ini berkecai umpama gelas pecah di muka bumi.

PETALING JAYA – Langkah perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun tersekat di pusingan ketiga selepas tewas kepada pemain China, Zhao Jun Peng sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Tokyo Metropolitan itu, Zii Jia terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar menerusi kekalahan tiga set 19-21, 21-11, 19-21 dalam tempoh lebih sejam.

Turun sebagai pemain pilihan, juara Asia itu dilihat memiliki peluang lebih cerah untuk melangkah ke pusingan suku akhir, namun dikejutkan dengan kekalahan 21-19 di set pertama.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, Zii Jia kembali memperkemaskan permainan di set berikutnya dan ia nyata berbaloi apabila dia menang 21-11 seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, pemain No.5 dunia itu menampilkan aksi lebih konsisten untuk mendahului permainan 14-10, namun secara tiba-tiba melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga membolehkan Jun Peng menyamakan kedudukan.

Kemudian, pemain China itu tidak menoleh lagi ke belakang apabila mengutip mata demi mata sebelum memastikan tempat ke suku akhir selepas melengkapkan kemenangan 21-19 ke atas Zii Jia.

Sementara itu, beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan tempat ke pusingan suku akhir selepas berhempas pulas menewaskan rakan sepasukan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21-17, 21-19.

Gandingan No.6 dunia itu dijangka bertemu sama ada beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Seo Seung Jae ataupun pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI