fbpx

Dua wanita dedah aurat dikompaun semasa berkaraoke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa MPKB-BRI menjalankan serbuan di sebuah premis yang menjalankan kegiatan karaoke haram di Pengkalan Chepa, Kota Bharu kelmarin. - FOTO IHSAN MPKB-BRI

KOTA BHARU – Dua orang wanita dikompaun selepas didapati tidak menutup aurat semasa berkaraoke di sebuah premis di Pengkalan Chepa di sini malam kelmarin.

Serbuan yang dijalankan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) itu turut merampas dan menyita set karaoke selepas didapati beroperasi secara haram.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, selain itu, sebanyak 400 botol cecair vape pelbagai perisa dan 30 pod turut dirampas di premis tersebut.

“Dalam operasi berasingan, MPKB-BRI turut mengeluarkan kompaun kepada sebuah premis dan menyita beberapa peralatan seperti telefon, kabel telefon dan bekas kad telefon kosong kerana menjalankan aktiviti judi online.

“Mereka didapati berselindung di sebalik aktiviti menjual peralatan telekomunikasi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Rosnazli, dalam serbuan lain, pihaknya turut menyita kerusi dan peralatan menghisap shisha yang ditinggalkan dalam keadaan masih berbara di luar sebuah premis di Kampung Demit Kubang Kerian.

Katanya, premis tersebut dipercayai ditutup selepas mengetahui pergerakan pasukan penguat kuasa ke lokasi itu.

“Selain itu, MPKB-BRI turut mengeluarkan kompaun ke atas sebuah hotel di Jalan Tengku Chik di sini selepas gagal mempamerkan lesen premis perniagaan.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pihak Jaheaik tidak mendapat kerjasama dari pihak hotel yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI