fbpx

Aliff Syukri minta maaf, netizen pula dah muak!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NETIZEN meluahkan rasa bosan dengan cara Aliff Syukri yang menggunakan skrip drama sama setiap kali mencetuskan kontroversi.

PETALING JAYA – Selepas mencetuskan kontroversi dengan video klip lagu duet Baby Sayang bersama Baby Shima yang dianggap keterlaluan, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya tampil membuat permohonan maaf.

Ujar Aliff, 34, apa yang berlaku selama ini adalah kesalahan dirinya sendiri kerana menyanyi merupakan hobinya yang dibuat untuk tujuan suka-suka dan hiburan semata-mata.

Biarpun menerima kecaman tetapi Aliff menjelaskan, video klip lagu tersebut langsung tidak memaparkan dirinya bersentuhan dengan Baby Shima.

“Saya nak minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya ada kelakuan saya tak kisahlah mengenai apa jua, lagu ke apa.

“Saya sangat-sangat mohon maaf terutama kepada mak saya, isteri dan keluarga. Sebab ini kesalahan daripada saya. Saya buat benda ini sebagai hobi. Saya buat benda ini hanya kongsi dalam media saya untuk suka-suka,” katanya dalam video dimuat naik dalam Instagramnya.

Tambah usahawan itu lagi, memang menjadi impiannya sejak dahulu untuk bergelar penyanyi tetapi kehadirannya dalam industri bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana artis lain.

“Saya tak suka bergaduh, saya suka kebaikan. Jujurnya saya sendiri tak pasti kenapa orang suka kecam saya. Apa salah saya awak?

“Saya juga tidak pernah marah atau bergaduh dengan mana-mana pihak,” luahnya.

Biarpun perkongsian tersebut dibuat Aliff demi meraih simpati dan kemaafan daripada semua orang, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila netizen meluahkan rasa muak dengan drama lelaki itu.

Ruangan komen dipenuhi dengan kata-kata sindiran netizen yang mengakui sudah penat dengan skrip drama sama daripada Aliff.

“Ala, jalan cerita sama je awak.”

“Tambah drama lagi ke awak.”

Demikian antara sindiran netizen yang ternyata letih dengan kerenah Aliff yang tidak henti-henti mencipta sensasi dan kemudian tampil membuat permohonan maaf selepas hebat dikecam.

Sejak lebih seminggu lalu, nama Aliff kembali panas gara-gara memuat naik video promosi lagu Baby Sayang memaparkan Baby Shima dalam keadaan berpakaian mencolok mata dan menari panas di sisinya.

Selepas dikecam, dia tampil membuat pengakuan mempunyai masalah mental tahap dua dengan memuat naik gambar pil dan mahu mengundurkan diri dari media sosial.

Dia juga menawarkan kepada mana-mana pihak yang ingin membeli akaun Instagram miliknya yang mempunyai seramai 4.3 juta pengikut pada harga RM500,000.

Bagaimanapun, perkongsian Aliff ternyata dusta apabila seorang netizen mendakwa gambar pil yang dikongsinya dalam Instagram adalah foto lama miliknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI