PETALING JAYA – Wanita bercerai dinasihatkan untuk tidak terlalu berbangga dengan status janda kerana ia merupakan cerminan masyarakat terhadap kehidupan lampau mereka ketika berumah tangga.
Pegawai Psikologi Universiti Sains Malaysia, Fauziah Abdullah berkata, wanita yang bercerai hidup dengan bekas suaminya mungkin tidak peduli dengan status tersebut tetapi apa pula tanggapan masyarakat jika dia berkahwin cerai lebih daripada dua kali.
“Pasti ada yang berfikiran negatif dan serong sekiranya gelaran janda itu tidak dibawa dengan cara betul.
“Individu ini selalunya tidak mempunyai matlamat dalam hidup dan perkahwinan hingga tidak mempedulikan kesan bercerai. Mana ada orang berkahwin terkejar-kejar untuk menjadi janda,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Fauziah, wanita suka apabila diberi perhatian dan sebab itu mereka gemar memuat naik status di laman sosial untuk orang balas, komen dan membela nasibnya.
Pandangan Fauziah itu ada benarnya apabila tinjauan mendapati ada dalam kalangan janda lebih selesa berkongsi kisah rumah tangga mereka di laman sosial dan menyalahkan bekas suami.
Rata-rata pengguna wanita lebih gemar meluahkan perasaan dan masalah hidupnya menerusi hantaran yang dimuat naik di platform media sosial berbanding golongan lelaki yang lebih berahsia.
Selain itu, Fauziah juga tidak menafikan terdapat sebahagian wanita yang megah jadi janda kerana yakin ia mampu memberi keuntungan.
“Tak salah jadi janda, tetapi ingat ia cerminan kepada keruntuhan rumah tangga,” katanya.














