fbpx

26 maut dalam kebakaran hutan Algeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sejak awal Ogos, sebanyak 106 kebakaran berlaku di Algeria yang memusnahkan lebih 2,500 hektar kawasan hutan. - The Guardian

ALGIERS – Sekurang-kurangnya 26 orang terkorban dan berpuluh-puluh yang lain cedera dalam kebakaran hutan yang memusnahkan 14 daerah di utara Algeria kelmarin, kata Menteri Dalam Negeri, Kamel Beldjoud.

Kamel  memberitahu televisyen kerajaan bahawa 24 orang hilang  nyawa dalam kebakaran di El Tarf, dekat sempadan Tunisia sebagai tambahan kepada dua lagi mangsa yang meninggal dunia sebelum ini di Setif.

Agensi perlindungan awam di Setif memberitahu, dua mangsa itu ialah seorang ibu berusia 58 tahun dan anak perempuannya yang berusia 31 tahun.

Jauh ke timur di Souk Ahras dekat  sempadan Algeria dan Tunisia pula, orang ramai dilihat melarikan diri dari rumah mereka apabila api semakin merebak,  sebelum helikopter-helikopter  pemadam api dikerahkan.

Berdasarkan angka kecederaan sebelum ini,  empat orang di Souk Ahras melecur dan 41 lagi sukar bernafas. Laporan akhbar tempatan menyebut bahawa seramai 350 penduduk telah dipindahkan.

Jumlah mangsa yang cedera dalam kebakaran di kawasan lain belum diperoleh.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan polis bertindak menutup beberapa jalan akibat kebakaran yang berlaku.

“Sebanyak 39 kebakaran sedang marak di 14 wilaya atau kawasan pentadbiran,” kata agensi perlindungan awam, sambil menyatakan,  El Tarf adalah kawasan yang paling teruk terjejas dengan 16 kebakaran masih marak.

Helikopter menggunakan bekas besar diperbuat daripada buluh untuk menggugurkan air di kawasan kebakaran di tiga wilayah termasuk Souk Ahras.

Sejak awal Ogos, sebanyak 106 kebakaran berlaku di Algeria yang memusnahkan lebih 2,500 hektar kawasan hutan.

Beldjoud berkata, beberapa kebakaran itu dimulakan oleh orang ramai.

Algeria merupakan negara terbesar di Benua Afrika tetapi mempunyai hanya 4.1 juta hektar hutan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI