fbpx

Lonjakan kes buli di sekolah membimbangkan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pengarah AADK, Sutekno (kanan) menunjukkan pameran disediakan oleh AADK kepada Mohd. Radzi (kiri) dan Hamzah pada Majlis Pelancaran di SMK Putrajaya Presint 14 di sini, hari ini.-/ FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan lonjakan insiden buli dalam kalangan murid sekolah pada ketika ini sebagai trend jenayah moden yang agak membimbangkan pihak kerajaan sendiri.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam nada kehairanan berkata, situasi yang berbeza pula dapat dilihat kepada kemerosotan jumlah penagihan dadah melibatkan murid sekolah.

“Masalah buli terutamanya di asrama tampak ada peningkatan ketara meskipun kesalahan lain seperti narkotik membabitkan remaja bawah umur berkurangan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau bersama-sama dengan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin hadir merasmikan Program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat, di sini hari ini.

Mereka berdua kemudian turut melancarkan portal Aduan Buli melibatkan kerjasama oleh dua kementerian itu dengan pelbagai agensi lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14(1).

Mengulas lebih lanjut, Hamzah berkata, berdasarkan statistik, kes penagihan dadah dalam kalangan pelajar bawah 18 tahun merekodkan trend penurunan secara konsisten sejak 2018 lalu.

“Pada tahun itu, sebanyak 4,928 kes dicatatkan tetapi kemudian sepanjang tahun lalu, hanya sejumlah 1,963 kes yang dilaporkan di seluruh negara iaitu merosot 60 peratus,” jelas beliau.

Sebaliknya pula, jenayah buli yang mengakibatkan kecederaan dengan sengaja dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan merekodkan pertambahan amat ketara.

Untuk tahun ini sahaja daripada awal Januari sehingga akhir Julai lalu, sebanyak 122 kes buli telah disabitkan kesalahan berbanding cuma 50 kes dicatatkan pada sepanjang tahun lepas.

Justeru, beliau mengarahkan pihak polis agar lebih proaktif dengan pendekatan turun ke bawah termasuk melantik pegawai perhubungan sekolah (PPS) bagi mendekati terus ramai pelajar.

Ditanya apakah punca peningkatan jenayah tersebut sehingga menggusarkan masyarakat, Hamzah berkata bahawa kemungkinan ada segelintir pelaku yang tidak tahu ia kesalahan serius.

“Ia menunjukkan generasi muda pada masa ini beranggapan gejala buli itu sebagai perkara norma biasa dan tidak langsung berasa bersalah melihat mangsa menderita kesakitan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa pihak polis bersedia membantu mangsa buli untuk diberikan perlindungan sementara sekiranya situasi memerlukan tindakan sedemikian.

Bagaimanapun, beliau memohon individu yang tahu mengenai kes sedemikian agar tampil melaporkan terus kepada pihak polis dan bukan senyap atau enggan campur masalah orang lain.

Tindakan murni mereka itu ujarnya, amat dihargai kerana ada mangsa didapati berasa bimbang untuk membuat laporan selain takut dengan ancaman ugutan pelaku yang berlagak samseng. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI