fbpx

Sukma MSN medan gilap bakat atlet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua dari kiri) ketika hadir pada Detik 30 Hari Menjelang Sukma MSN 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – berbaki 30 hari sahaja lagi Sukan Malaysia (Sukma) MSN edisi ke-20 yang menjadi medan buat atlet tempatan membuktikan kemampuan masing-masing akan membuka tirainya pada 16 hingga 24 September depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Sukma merupakan temasya sukan tempatan paling berprestij selain sentiasa menjadi platform atlet-atlet muda membuktikan kemampuan masing-masing.

Tambahnya, temasya sukan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) itu sentiasa menjadi pentas buat Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) dan MSN mengenal pasti bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Saya rasa teruja dan gembira apabila melihat persiapan yang dilakukan MSN dengan menambah baik fasiliti-fasiliti sukan di sekitar Kuala Lumpur dalam usaha memastikan semua acara berjalan dengan baik.

“Paling penting adalah untuk berikan pendedahan kepada mereka bertanding di peringkat paling tinggi dalam negara dan ia penting untuk persatuan sukan serta MSN kenal pasti dan gilap bakat-bakat ini.

“Tentunya kita terlibat dengan sukan-sukan tertinggi seperti Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik, namun di Sukma kita mula mengenal pasti serta gilap bakat sebelum hantar mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada Majlis Detik 30 Hari Menjelang Sukan Malaysia MSN 2022 di Bukit Jalil hari ini.

Sebagai rekod, Sukma MSN 2022 akan mempertandingan 31 jenis sukan meliputi 426 acara termasuk akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak, hoki, karate dan silat melibatkan lima zon pertandingan.

Selain pelancaran detik 30 hari Sukma MSN, majlis hari ini turut memperkenalkan maskot rasmi bernama ‘Oyen’ yang melambangkam ‘Harimau Malaya’ tanpa mengenal erti luntur semangat selain tabah menghadapi cabaran.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI