fbpx
NURHAZARULL NADIA (dua dari kiri) bersama rakan-rakan menunjukkan Probaitbar yang merupakan inovasi Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.

Inovasi kawal serangan lalat buah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI petani dan pekebun, serangan lalat buah atau nama saintifiknya Bactrocera sp menjadi satu salah satu masalah yang sering dihadapi dalam mengusahakan tanaman.

Lalat ini merupakan salah satu perosak utaman tanaman sayur- sayuran dan buah-buahan.

Seorang pegawai dari Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Nurhazarull Nadia Baset berkata, serangan lalat buah boleh menyebabkan kuantiti dan kualiti buah menurun.

Menurutnya, kesan serangan boleh dilihat pada buah yang hampir masak dengan adanya bintik atau lubang hitam kecil di kulit buah.

“Ini merupakan kesan tusukan ovipositori lalat betina ketika bertelur pada permukaan kulit
buah.

“Larva yang menetas mengorek masuk dan memakan isi buah. Kesannya akan menyebabkan buah itu rosak dan tidak dapat dipasarkan oleh para pekebun,” katanya.

LALAT buah atau nama saintifik umumnya, Bactrocera sp.

Jelas beliau lagi, di Malaysia terdapat enam jenis lalat buah yang sering menjadi masalah buat petani dan pekebun.

Lalat buah Bactrocera carambolae dan Bactrocera papaya menyerang buah-buahan seperti mangga, belimbing, betik dan pisang, manakala lalat buah Bactrocera cucurbitae atau Bactrocera tau pula menyerang tanaman seperti petola, peria, timun dan tembikai.

Lalat buah Bactrocera latifrons memberi kesan kepada tanaman seperti cili, manakala lalat buah Bactrocera umbrosa pula menyerang cempedak, nangka dan limau bali.

Justeru, Nurhazarull Nadia berkata, bagi mengatasi masalah ini, pelbagai kaedah boleh dilaksanakan dan salah satunya menerusi inovasi Probaitbar yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Sembilan sendiri.

“Alat ini menggunakan umpan protein yang dihasilkan dalam bentuk pepejal bagi mengawal populasi lalat buah di sesuatu kawasan.

“Apabila lalat betina memakan protein ini, ia akan mengakibatkan telur yang dihasilkannya tidak menetas dan ini sekali gus dapat mengurangkan populasi lalat buah,” jelasnya.

Tambahnya, apabila telur tersebut tidak dapat menetas, jadi tidak akan ada lalat-lalat baharu yang muncul dan menyerang buah- buahan.

Malah, inovasi itu juga amat berkesan kerana protein merupakan makanan lalat dan serangga ini akan memilih untuk memakan protein terlebih dahulu berbanding buah.

Selain itu katanya, Probaitbar itu juga boleh dicampur dengan sedikit racun bagi membolehkan lalat-lalat yang memakannya mati.

PROBAITBAR boleh dicampurkan dengan sedikit racun bagi membolehkan lalat-lalat buah yang memakannya mati.

Nurhazarull Nadia menerangkan, Probaitbar yang dihasilkan itu juga amat mudah untuk digunakan dan pekebun hanya perlu menggantung alat tersebut di dahan pokok.

“Selain itu, kos untuk menggunakannya juga murah dan tidak membebankan petani atau pekebun.

“Bagi kawasan seluas 1 hektar, jumlah minimum Probaitbar yang perlu digunakan adalah sekitar 10 unit sahaja,” katanya.

Tambahnya, alat tersebut juga mampu bertahan sehingga tiga hingga empat bulan untuk sekali kegunaan.

POPULAR