PAKAIAN yang dipakai pada masa depan mungkin bukan sekadar pilihan gaya atau keperluan harian, sebaliknya satu alat diagnostik pintar.
Pakaian itu boleh berfungsi mengesan pergerakan, merekod kadar degupan jantung serta membantu dalam proses pemulihan fizikal.
Hal ini dilihat semakin menjadi realiti menerusi teknologi smart textile atau tekstil pintar yang kini sedang merevolusikan dunia fesyen, kesihatan dan sukan.
Teknologi itu menggabungkan pelbagai inovasi, sains bahan, kejuruteraan elektronik dan kecerdasan buatan (AI).
Pakaian masa depan itu sedang dirangka di makmal-makmal universiti terkemuka dunia, daripada baju-T boleh mengukur elektrokardiogram (ECG) sehingga stoking dan kasut yang mampu ‘merasai’ tekanan badan. Antara pemain utama dalam bidang itu ialah Massachusetts Institute of Technology (MIT), Rice University dan Ecole Polytechnique Federale de Lausanne (EPFL), Switzerland.
Pasukan penyelidik Rice University telah membangunkan baju-T pintar dengan menjahit benang nanotube karbon pada fabrik pakaian sukan.
Menurut penyelidik utama daripada Rice University, Lauren Taylor, teknologi itu membolehkan baju-T tersebut mengesan aktiviti jantung dan menghantar data ke telefon pintar atau peranti perubatan melalui sambungan Bluetooth.
“Baju-T mesti rapat pada dada. Dalam kajian masa depan, kami tumpukan pada tampalan benang nanotube karbon yang lebih padat supaya lebih banyak permukaan bersentuhan dengan kulit.
“Apa yang menarik, fabrik ini boleh dibasuh menggunakan mesin, cukup tahan lasak untuk latihan sukan dan tidak memerlukan elektrod besar tidak selesa,” katanya dalam satu artikel dalam portal ZME Science.

Tambahnya, bacaan direkodkan oleh baju-T itu juga hampir setanding dengan alat ECG klinikal, sekali gus menjadikannya salah satu alternatif yang lebih praktikal dan mudah dipakai.
Selain baju-T pintar, pihak MIT pula cuba melakukan inovasi terbaharu yang menggunakan fabrik rajutan pintar menggunakan sistem 3DKnITS.
Sensor tekanan piezoresistif ditanam dalam fabrik tersebut yang mampu bertindak balas terhadap tekanan tubuh apabila dipakai.
Berkongsi tentang inovasi terbaharu itu, ketua projek di MIT, Prof. Yihui Sheila Liang memberitahu, teknologi tersebut boleh digunakan dalam pembuatan kasut, stoking dan tikar.
“Kami bukan sahaja membina pakaian, malah mencipta satu platform sensori yang berfungsi seperti peta haba tubuh.
“AI digunakan untuk menganalisis data yang dikumpul pada fabrik tersebut.
“Sistem ini mampu mengenal pasti pergerakan seperti berjalan, berlari, push-up, bahkan tujuh jenis pose yoga dengan ketepatan sehingga 99 peratus,” ujarnya.
Katanya, ia membuka ruang kepada penggunaannya dalam fisioterapi, pemantauan pesakit warga emas dan latihan sukan profesional.
Inovasi fabrik pintar tidak hanya pada pakaian siap, malah untuk bahan asas iaitu kain pasang.

Satu lagi pendekatan ‘revolusioner’ yang diperkenalkan oleh pasukan penyelidik di EPFL, Switzerland adalah sistem gentian pintar berasaskan garisan transmisi fleksibel.
Ia merupakan sejenis sensor regangan yang mampu mengesan tekanan, lenturan dan tork dalam fabrik.
Menurut penyelidik utamanya, Andreas Leber, konsep itu diibaratkan seperti radar mini dalam tekstil, namun menggunakan impuls elektrik.
“Bayangkan pakaian atau cadar hospital mampu memantau pernafasan dan gerak fizikal anda secara automatik.
“Aplikasi teknologi ini meluas termasuk pakaian hospital yang boleh mengesan perubahan posisi pesakit.
“Fabrik canggih ini juga boleh digunakan dalam kawalan robotik yang membolehkan robot ‘merasai’ sentuhan manusia,” kongsinya.
Walaupun setiap pendekatan berbeza, namun fabrik pintar itu berkongsi beberapa ciri utama iaitu fleksibel dan selesa, selain sesuai untuk kegunaan harian.
Menariknya, fabrik tersebut juga mampu dijahit seperti benang biasa tetapi dengan keupayaan konduktif tinggi.
Tidak hanya itu, fabrik berkenaan juga tahan lasak dan boleh dibasuh, sekali gus menjadikannya praktikal.
Ia juga memiliki integrasi mudah dengan peranti digital sama ada melalui Bluetooth, AI atau cloud system.
Sementara itu, bahan-bahan seperti cecair logam, benang karbon dan sensor konduktif piezoresistif telah menjadikan fabrik bukan sekadar permukaan pasif.
Sebaliknya, ia komponen aktif yang boleh memberi maklum balas masa nyata terhadap keadaan tubuh manusia.
Bagaimanapun, inovasi tersebut masih berdepan cabaran dan antara isu yang dikenal pasti termasuklah ketekalan bacaan dalam keadaan sebenar.
Taylor memaklumkan, kesesuaian untuk pelbagai jenis tubuh turut dilihat menjadi satu cabaran, selain kos pengeluaran dan skalabiliti yang perlu diturunkan untuk penggunaan masyarakat.
“Namun begitu, ramai penyelidik optimis bahawa teknologi ini bakal memasuki fasa komersial sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Gabungan unik kebolehjahitan, ketahanan dan fungsi mewakili langkah besar ke arah tekstil elektronik boleh pakai sepenuhnya,” ujarnya.
Kongsinya, teknologi smart textile menjanjikan masa depan, di mana pakaian boleh merekodkan denyutan, memantau postur dan memberi amaran awal.
Malah, teknologi tersebut mungkin boleh memberi tindak balas terapeutik secara automatik pada suatu hari nanti.
Dengan AI dan sains bahan yang semakin canggih, fabrik pintar bukan lagi menjadi idea futuristik.
Sebaliknya, ia sedang dijahit, diuji dan bakal dipasarkan tidak lama lagi.














