fbpx
LAKONAN Ummi Nazeera selaku Hayfa dalam drama Risik Pada Hati kembali melonjakkan namanya selaku aktres serba boleh.

Penonton hayati emosi, itulah ‘anugerah’ sebenar – Ummi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYALURKAN emosi dan rasa dengan penonton menerusi watak yang dilakonkan bukan satu hal yang mudah untuk diterjemahkan bagi seorang pelakon.

Jika ada rezeki, emosi penonton akan turut terusik. Sekiranya tidak, kemungkinan kecaman yang dilemparkan.

Sebaliknya, perkara tersebut tidak pernah terjadi buat aktres serba boleh, Ummi Nazeera apabila sekali lagi lakonannya memancing jutaan pujian. Kali ini menerusi watak Hayfa dalam drama Risik Pada Hati (RPH).

Kehebatannya menjayakan karakter itu turut membuatkan penonton mahu pemilik nama lengkap Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 31, itu diberikan anugerah pelakon wanita terbaik pada tahun ini.

Ikuti temu bual bersama bintang yang mula dikenali menerusi drama Nur Kasih itu membicarakan tentang impak dan kesukaran untuknya membawa watak Hayfa yang memerlukannya berendam air mata.

SEDAR jangkaan tinggi daripada peminat selepas ini, Ummi bagaimanapun tidak menjadikan situasi itu sebagai satu perkara untuk dibimbangkan.

KOSMO!: Drama RPH meraih sambutan hebat baru-baru ini, boleh kongsikan respons apabila melihat banyak pujian daripada penonton dan rakan artis tentang lakonan Ummi?

UMMI NAZEERA: Sejujurnya saya tak sangka sambutan sangat hebat daripada para penonton. Terima kasih kepada keluarga yang memberi kepercayaan untuk saya terus berkarya sebagai anak seni.
Produksi drama ini sangat menakjubkan termasuk pengarah, Pali Yahya dan barisan pelakon yang memberi kerjasama baik. Semua itu antara sebab yang membuatkan drama ini meledak.

Perasaan anda apabila ada yang mengatakan Ummi Nazeera layak diberikan anugerah pelakon terbaik disebabkan drama tersebut?
Saya sangat terharu dengan segala kata-kata baik daripada penonton. Hati mereka terusik dengan watak Hayfa. Paling gembira apabila mereka dapat merasai emosi Hayfa.
Sebagai pelakon, berkongsi rasa dengan penonton itu sangat penting dan saya syukur kerana perkara tersebut berjaya direalisasikan. Itulah anugerah sebenar yang saya berjaya raih menerusi drama ini.

SALAH satu babak emosi membabitkan Hayfa dan suaminya, Adam lakonan Alif Satar (kiri) dalam Risik Pada Hati.

Secara peribadi, adakah terdapat sebarang kesukaran untuk menjayakan watak Hayfa lebih-lebih lagi apabila banyak bermain dengan emosi dan air mata?
Ya, watak ini agak sukar sebab banyak bermain dengan perasaan sendiri dan memendam perasaan. Sebenarnya, memendam rasa lagi sakit berbanding melepaskannya.
Bertambah sukar apabila saya sudah lama tidak berlakon dan ini drama pertama selepas saya melahirkan anak kedua sekitar Jun tahun lalu.
Jadi, saya ambil inisiatif menyertai kelas lakonan selama dua hari bersama Fatimah Abu Bakar sebelum masuk ke set penggambaran.
Kemudian, apa yang merisaukan saya, penggambaran dijalankan pada bulan Ramadan lalu. Tak boleh minum air dan perlu menangis, dalaman memang rasa ‘tenat’.
Syukur pihak produksi saling membantu, itu yang membuatkan setiap karakter dalam naskhah ini berjaya.

Apabila nama semakin meledak, ada timbul kerisauan untuk berlakon dalam mana-mana naskhah selepas ini memandangkan penanda aras penonton terhadap anda semakin tinggi?
Ya, memang risau untuk berlakon selepas ini sebab kepercayaan yang tinggi diberikan oleh orang ramai.
Tetapi itu bukan asbab untuk saya biarkan ketakutan menyelubungi jiwa kerana semua itu boleh menjadi pembakar semangat untuk terus memajukan diri.

POPULAR