fbpx
Gambar hiasan.

Kertas siasatan kes cabul babitkan pegawai polis akan dirujuk ke Bukit Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kertas siasatan kes cabul didakwa membabitkan pegawai polis berpangkat Inspektor dalam kejadian di Kampar baru-baru ini akan dirujuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan sedang dijalankan termasuk merakam percakapan pihak terlibat.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan dan kita sedang merakam percakapan lanjut pengadu. Di dalam kes ini, tiada saksi bebas dikenal pasti kecuali anak suspek yang berada di dalam rumah iaitu lokasi kejadian.

“Kertas siasatan kes ini akan dirujuk ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk penelitian, sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, media pada 9 Ogos lalu melaporkan, seorang kerani wanita mendakwa menjadi mangsa cabul lelaki yang didakwa pegawai polis berpangkat Inspektor ketika berada di rumah suspek pada 5 Ogos lalu.

Menurut sumber, wanita itu pergi ke rumah suspek di Taman Sentosa, Kampar kerana ingin mendapatkan penjelasan bagaimana suspek mengenali dirinya.

Dalam kejadian sekitar pukul 10.30 malam itu, mangsa didakwa telah dicium dan diraba pada payudaranya namun kejadian itu berjaya dihalang mangsa.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. – KOSMO! ONLINE

POPULAR