Longgokan bauksit membentuk bukit merah yang masih terdapat di dua Felda di Kuantan.

Longgokan ‘bukit merah’ bernilai RM20 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Lebih dua juta tan stok simpanan bauksit membentuk ratusan ‘bukit merah’ bernilai tinggi di Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan di sini.

Stok simpanan bauksit yang dianggarkan bernilai lebih RM20 juta itu tidak dapat dikeluarkan selepas pelaksanaan moratorium kira-kira enam tahun lalu di­sebabkan isu pencemaran alam sekitar.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Bukit Goh baru-baru ini mendapati terdapat begitu banyak longgokan bauksit yang membentuk seperti bukit dan kawasan tanah merah serta kesan perlombo­ngan bauksit.

Kewujudan bauksit yang menjadi rebutan tauke-tauke tersebut kini menjadi perkara utama yang perlu diatasi sebelum sebarang tindakan termasuk penanaman semula atau pembangunan lain seperti lembah solar boleh dilakukan.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, kewujudan ratusan bukit stok simpanan bauksit itu dapat dilihat di sekitar Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan.

“Selain boleh menghalang aktiviti penanaman semula dan pembangunan lain, kewujudan ‘bukit merah’ itu juga turut menyebabkan berlakunya pencemaran sungai.

“Apabila hujan lebat, air dari bukit bauksit itu akan mengalir masuk ke dalam Sungai Bukit Goh dan sungai berhampiran menyebabkan air menjadi keruh.

“Jadi kami berharap perkara ini diatasi sama ada dengan cara membawa keluar atau meratakan sebelum apa-apa peranca­ngan khususnya pembangunan dilaksanakan,” katanya di sini semalam.

Salah satu daripada ‘bukit merah’ bernilai tinggi.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan seramai 402 peneroka Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan terumbang-ambing sejak aktiviti pengeluaran bauksit dihentikan kira-kira enam tahun lalu.

Selain itu, nama mereka turut terkeluar daripada program penanaman semula Felda.

Susulan itu, Felda telah me­nyatakan kesediaan untuk me­lakukan penanaman semula atau melaksanakan alternatif lain termasukkan pembangunan lembah solar sekiranya kos pemulihan tanah dan penanaman semula sawit terbukti tidak berbaloi.

Difahamkan, kira-kira RM54 juta diperlukan bagi proses tanaman semula kelapa sawit melibatkan kawasan seluas 1,627 hektar meliputi tanah milik 194 peneroka bagi aktiviti perlombongan bauksit dan 208 pene­roka yang tidak terlibat, tetapi terkeluar daripada program penanaman semula.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah berkata, selepas mendapat persetujuan peneroka sama ada untuk penanaman semula atau pembangunan lain, simpanan stok bauksit tersebut perlu dise­lesaikan segera.

“Mengenai cadangan (pembangunan seperti lembah solar) kita berbincang dengan pihak Felda dahulu sebagai penguasa sebelum dibawa kepada kerajaan negeri.

“Ketika ini, kita tunggu peringkat G2G, peneroka dan Felda bagi memperkemaskan cadangan ter­sebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN