fbpx
NOORHANISAH (kiri), MUHAMMAD ZULHILMI (atas) dan ISKANDAR (bawah).

Pasukan isteri ‘meletup’, raih wang tunai minggu pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka dan siapa menduga penangan sang isteri pada perlawanan pertama Liga Fantasi Kosmo! ‘meletup’ hingga menjadikannya salah seorang daripada lima pemenang bertuah hadiah mingguan bernilai RM200 seorang.

Selepas dua tahun menceburkan diri pada saingan Fantasy Premier League (FPL), akhirnya membawa tuah buat Noorhanisah Shariffuddin apabila me­ngutip mata tertinggi bagi ming­gu pertama Liga Fantasi Kosmo! 2022/23.

Membimbing pasukan Online Seller, pengurus yang menetap di Putrajaya itu memastikan hadiah mingguan RM200 menjadi milik­nya apabila mengutip 90 mata dengan percaturan Mohamed Salah sebagai kapten.

Katanya, kemenangan itu sesuatu yang sangat berharga baginya selepas mula berjinak-jinak dengan FPL kerana terpengaruh dengan suami, sekali gus memudahkan mereka melakukan pemilihan pemain.

“Gembira dapat menang, namun pasukan suami gagal ming­gu ini. Bagaimanapun, suami banyak membantu dalam memi­lih pemain. Alhamdulillah dengan 90 mata yang diraih pada minggu pertama, saya dapat memenangi hadiah mingguan Liga Fantasi Kosmo! 2022/23.

“Saya dan suami akan membuat ‘kerja rumah’ dengan melihat keputusan perlawanan persahabatan setiap kelab serta membuat penilaian terhadap ­prestasi pemain utama dan pemain baru dibawa masuk pada jendela perpindahan kali ini,” katanya yang merupakan penyokong Chelsea.

Muhammad Zulhilmi Zainal Abidin pula berkata, membuat pilihan pemain nama besar menjadi pendekatan paling selamat untuk cuba mendapatkan lebih banyak mata pada aksi pembukaan.

Sama seperti pasukan sebenar, pemain Liga Fantasi juga mungkin tidak mendapat gambaran sebenar tentang apa yang akan berlaku dan tiada sebarang kelainan yang mampu dihadirkan.

Bagi pengurus Concorot FC ini, dia tidak mampu untuk me­ramalkan sebarang kemungkinan dan langkah untuk menyenaraikan pemain seperti Mohamed Salah, Darwin Nunez, Kevin de Bruyne dan Erling Haaland adalah jalan terbaik.

“Kalau ikutkan, saya tidaklah harapkan apa-apa pada minggu pertama dan tetapi apabila penyertaan mula berbayar, sudah pasti saya mahu mencuba untuk menang.

“Sukar untuk saya buat kelai­nan berbanding orang lain dan pemilihan dibuat lebih menjurus kepada pemain kegemaran. Walaupun berbayar, berbaloilah untuk menang mingguan, lagi-lagi minggu pertama. Orang kata balik modal,” katanya dari Kampung Pachitan, Bukit Pelanduk.

Sementara itu, Iskandar Abdul Halim dari Kuatan Pahang pula dia pertama kali menyertai Liga Fantasi Kosmo! kerana tertarik dengan hadiah-hadiah ditawarkan.

“Ini kali pertama saya sertai Liga Fantasi Kosmo! dan tidak sangka nama pasukan saya antara yang tertinggi dalam perlawanan minggu pertama ni. Percaturan kali ini benar-benar menjadi. Apapun, terima kasih kepada Kos­mo!,” ujarnya.

Pendaftaran Liga Fantasi Kosmo! masih terbuka, jangan terlepas peluang menang hadiah mingguan & gempak dengan klik pautan ini: https://www.kosmo.com.my/liga-fantasi/

POPULAR