fbpx

Pelajar gagal SPM digalak sertai program usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh (tengah) menyantuni ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Selangor, hari ini. - FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Para pelajar yang gagal peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan menyertai pelbagai program keusahawanan disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, KUSKOP sentiasa membuka peluang kepada belia tanpa mengira latar belakang dalam usaha membantu meningkat taraf hidup, selain menjana ekonomi.

“Belia di luar sana kena dekati KUSKOP kerana KUSKOP ada menyediakan pelbagai program untuk bantu usahawan dalam kalangan belia. Kalau kata belia hendak mula berniaga, tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiada tempat niaga, tiada lesen niaga pun, boleh mohon dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

“Ini kerana kita ada satu program iaitu Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di TEKUN, jadi kita akan bantu belia,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan mesyuarat agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bahawa seramai 45,526 orang calon tidak layak mendapat sijil SPM ekoran gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Noh berkata, lebih 400,000 individu, termasuk belia mendapat latihan keusahawanan melalui 11 agensi di bawah KUSKOP dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Agensi di bawah KUSKOP ini melatih ramai usahawan. Mengikut perancangan awal, sasaran saya adalah 143,000 usahawan dilatih membabitkan 11 agensi.

“Tetapi, berdasarkan laporan yang diberikan kepada saya minggu ini, angkanya sudah cecah lebih 400,000, iaitu naik empat kali ganda,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI