fbpx

Mahkamah: Shahrir beli Honda Civic Hybrid  ‘lump sum’ guna cek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrir ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. FOTO Faiz Alif Ahmad Zubir

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan sebuah syarikat penjualan kereta memberitahu, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab. Samad membuat bayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hybrid berjumlah RM118,485 menggunakan sekeping cek sembilan tahun lalu.

Rozana Khalid, 43, yang merupakan Eksekutif Akaun di Sutera Auto Sdn. Bhd. Johor Bahru berkata beliau terlibat dalam proses penutupan akaun bagi pembelian kenderaan Honda Civic Hybrid berwarna putih yang dibeli oleh pembeli iaitu Shahrir.

“Saya merujuk kepada resit bayaran Sutera Auto Sdn. Bhd. atas nama Shahrir berjumlah RM118,485. bertarikh 26 Disember 2013. Saya sahkan ini invois kenderaan atas nama Shahrir dan dokumen ini disediakan oleh Nurrul Hafizah Md. Roslan (Eksekutif Pentadbiran). Invois kenderaan ini disediakan selepas urusan pembayaran dan pendaftaran kenderaan telah selesai dibuat.

“Saya sahkan ini Perakuan Pendaftaran atas nama Shahrir bahawa ini adalah dokumen Perakuan Pendaftaran Kenderaan atau lebih dikenali sebagai geran yang didaftarkan atas nama Shahrir dan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor Bahru,” kata saksi pendakwaan ketujuh itu ketika membaca pernyataan saksinya.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi berhubung maksud pembayaran tunai, Rozana berkata terdapat tiga cara pembayaran tunai iaitu wang tunai, kad kredit dan cek.

Bagaimanapun, saksi itu berkata kebarangkalian untuk seseorang itu membeli kereta secara tunai hanya satu atau dua peratus.

“Kebiasaannya (membeli kereta) akan membuat loan (pinjaman) bank. Sebagai contoh daripada 50 unit kereta terjual mungkin dua atau tiga akan membeli secara tunai dan pembayaran itu sama ada itu wang tunai atau kad kredit,” katanya yang berkhidmat 13 tahun di syarikat itu.

Sementara itu ketika ditanya peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, yang mewakili Shahrir ada atau tidak pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memanggilnya untuk merakam percakapan selain menyerahkan sebarang dokumen berkaitan dengan kenderaan itu (Honda Civic) saksi itu menjawab ‘tidak’.

Terdahulu saksi pendakwaan keenam Nurrul Hafizah, 40, yang merupakan eksekutif pentadbiran di tempat penjualan kereta sama ketika membaca pernyataan saksinya berkata, beliau telah menyediakan invois (pembelian kereta) selepas dimaklumkan bahawa urusan pembayaran serta pendaftaran kenderaan itu (Honda Civic) dengan JPJ telah selesai selain telah menerima fail pembelian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung lagi esok.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI