fbpx

APMM Perak rampas 42 set bubu naga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada bubu naga yang dirampas APMM Perak di perairan Tanjung Kepah, Lumut semalam.

IPOH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak merampas 42 set bubu naga di sekitar 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Kepah, Lumut kira-kira pukul 1.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, bot peronda APMM yang melakukan rondaan Op Pintas dan Op Sayong telah mengesan kewujudan bubu naga tersebut di sekitar perairan Tanjung Kepah.

“Kesemua 42 set bubu naga yang dijumpai itu diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Perak untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Hambali berkata, penggunaan bubu naga secara berleluasa oleh pihak tidak bertanggungjawab di perairan Perak boleh mengganggu habitat marin untuk jangka masa panjang.

“Ini kerana, bubu naga boleh mengancam habitat marin terutamanya ikan-ikan kecil di pesisir pantai dan boleh mengakibatkan kepupusan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

“Justeru, APMM Perak menyeru agar kegiatan perikanan jenis ini dihentikan dan sebarang maklumat berkaitan penggunaaannya boleh disalurkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI