fbpx
Ronald (tengah) bergambar bersama wakil universiti awam selepas penjanjian MoU di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini. /FOTO FARIZ RUSADIO

MAHA 2022: Jabatan Perikanan, tiga universiti bangunkan industri perikanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG – Jabatan Perikanan (DOF) menjalin kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama tiga universiti awam bagi meningkatkan pembangunan industri perikanan terutama dalam bidang penyelidikan.

Pemeteraian MoU itu disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk seri Dr. Ronald Kiandee bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini, hari ini.

Tiga universiti awam terlibat ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ronald berkata, kerjasama strategik itu merupakan langkah terbaik dalam perkongsian data dan kajian untuk membangunkan industri perikanan dalam aspek sosial dan ekonomi.

“Kita harap perkongsian data antara DOF dengan universiti-universiti ini akan merancakkan lagi pertumbuhan sektor perikanan negara dan membangunkan komuniti nelayan agar mereka dapat diangkat dari segi sosial dan ekonomi.

“Berikutan itu, diharapkan agar kajian ini dapat menghasilkan agenda negara untuk membangunkan industri perikanan sama ada industri tempatan atau akuakultur moden (pembiak baka),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Ronald, MAFI sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik antara DOF dengan universiti tempatan.

“Dalam era masa kini sudah tentu perkongsian data dan kajian akan mempercepatkan pembangunan industri yang kita inginkan yang mana ia meliputi beberapa bidang termasuk aspek sosio-ekonomi,” ujarnya.

Pada masa sama, Laman Agrofood Perikanan MAHA 2022 pada kali ini memaparkan pelbagai pameran interaktif melalui 11 elemen menarik seperti galeri tangkapan ikan, sangkar ikan dan pameran ikan betta liar serta banyak lagi. – KOSMO! ONLINE

POPULAR