fbpx

PGA rampas 12 ekor anak anjing seludup bernilai RM96,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua ekor anak anjing baka Cyprus Poodle yang berada di dalam sebuah sangkar dirampas semasa serbuan di Pangkalan Haram Jali, Kampung Jenub dekat Tanah Merah kelmarin. /FOTO IHSAN POLIS

KOTA BHARU – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 12 ekor anak anjing baka Cyprus Poodle dan Pomeranian yang diseludup dari negara jiran selepas menahan seorang lelaki di Pangkalan Haram Jali, Kampung Jenub dekat Tanah Merah kelmarin.

Kesemua haiwan bernilai RM96,000 itu dirampas selepas anggota PGA menyerbua sebuah kereta yang diletakkan berhampiran pangkalan haram tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika intipan dijalankan, sebuah perahu dari arah Thailand dengan membawa beberapa bakul menuju ke tebing sungai.

Menurutnya, beberapa lelaki dilihat memunggah bakul-bakul ke dalam sebuah kereta yang sedang menunggu di kawasan berhampiran pengkalan haram berkenaan.

“Anggota PGA terus membuat serbuan sebelum kesemua lelaki yang memunggah barang itu berjaya melarikan diri, namun polis sempat menahan pemandu kereta tersebut yang berusia 59 tahun.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu telah menjumpai lima buah sangkar yang mengandungi 12 ekor anjing jenis ‘Cyprus Poodle’ dan ‘Pomeranian’,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Katanya, kesemua rampasan anjing itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Maqis 2011. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI