fbpx

Orang ramai teruja jumpa generasi ketujuh Mahsuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Johan Johari, pemilik Restoran Bamboo Chenang bergambar bersama Wan Aishah yang mengunjungi restorannya baru-baru ini.

LANGKAWI – Kehadiran semula generasi ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Wan Nawawi, 37, dan anak lelakinya yang juga generasi kelapan di pulau ini mengundang keterujaan orang ramai.

Difahamkan, Wan Aishah atau nama Thainya, Sirintra Yayee atau Nong May bersama suami, Alee Tongyon, 39, dan anak lelaki mereka bercuti di pulau ini selama dua hari mulai Khamis lalu.

Wan Aishah yang lahir pada 1986 dan menetap di Phuket, Thailand dikatakan menamatkan sumpah tujuh keturunan Mahsuri ke atas Pulau Langkawi selepas pulau itu mendapat status pulau bebas cukai setahun kemudian.

Video dan gambar percutian tiga beranak itu yang dimuat naik pengguna sosial media, pengurusan beberapa lokasi pelancongan dan Wan Aishah sendiri, kini tular sejak kelmarin.

Antaranya, video berdurasi 23 saat yang memaparkan keluarga itu mengunjungi sebuah restoran di Pantai Chenang dimuat naik pemilik restoran itu di aplikasi TikTok menggunakan akaun @miorjohan sebelum ia tular.

Ketika dihubungi, Mior Johan Johari, 32, berkata beliau mengenali Aishah sejak 2013 dan keturunan ketujuh Mahsuri itu datang semula ke pulau ini untuk bercuti secara senyap-senyap pada Khamis lalu.

“Keluarga mentua saya memang kenal lama dengan keluarga Aishah di Phuket, Thailand dan mereka (Aishah dan suaminya) sudah banyak kali datang ke Langkawi.

“Cuma kali ini agak istimewa kerana dia (Aishah) datang bersama suami dan anak lelakinya berusia enam tahun dikenali sebagai Mateen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI