fbpx

Arwah tidak pernah takut, serik untuk terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kren digunakan untuk mengangkat bangkai pesawat yang terjunam di Jalan Dr. Nazrin Shah, Ipoh semalam. Gambar kecil, Allahyarham Fajim Juffa

IPOH – Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal bukan sahaja tidak takut, malah tetap bersemangat untuk terbang meskipun pernah terlibat dalam nahas apabila pesawat tempur MiG-29 dikendalikannya terhempas di Ladang Ketengah Perwira, Kemaman, Terengganu pada 2004.

Ibu saudara arwah yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian itu, Fajim Juffa ditemui selamat di kawasan Hutan Bukit Sagu selepas 31 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Katanya, semangat arwah tidak pernah luntur apabila tak pernah menyatakan hasrat untuk berhenti berkhidmat walaupun selepas bapanya terkorban dalam kejadian helikopter Nuri terhempas di Sungai Lundu, Sarawak pada 1989.

“Dia langsung tidak pernah cakap takut sebab dia minat dan suka terbang. Arwah juga pernah sertai pemilihan untuk menjadi angkasawan.

“Cuma biasalah, kita sebagai orang tua pula yang bimbang dan risau mengenai keselamatannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Van membawa jenazah Fahim Juffa keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 kelmarin, Fajim Juffa, 52, maut apabila pesawat ringan jenis Piper 28 yang dinaiki bersama rakannya, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, terhempas di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di sini.

Muhammad Din Fikri yang merupakan ketua jurulatih pe­nerbangan pula dilaporkan parah. Sebelum kejadian mereka dikatakan berlepas dari Bats Aviation Sdn. Bhd. dekat sini.

Menurut wanita itu, kali ter­akhir dia berjumpa anak saudaranya itu ialah pada Aidilfitri lalu ketika arwah menziarahinya di Klebang di sini.

Tambahnya, arwah disifatkan seorang yang ceria dan gemar melawak dan itu membuatkan mereka menjadi rapat.

“Dia ada hubungi saya untuk datang pada Aidiladha tetapi tak kesampaian kerana saya ada urusan. Tak sangka itu merupakan pertemuan terakhir kami,” katanya.

Berita berkaitan: Jurulatih penerbangan maut, seorang parah dalam nahas pesawat terhempas

Sementara itu, bapa saudara Allahyarham yang ingin dikenali sebagai Radzi, 57, berkata, Fujim Juffa seorang bapa serta suami yang bertanggungjawab dan tragedi itu menjadi satu kehila­ngan besar buat keluarga mereka.

“Isteri dan anak-anaknya masih bersedih dengan kejadian itu,” katanya.

Berita berkaitan: Pesawat terhempas : Kru penerbangan sempat lapor kecemasan

Jenazah Fujim Juffa selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam selepas solat Asar semalam.

Dalam pada itu di Putrajaya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia sedang menjalankan siasatan terpeinci me­ngenai nahas itu.

“Siasatan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI