fbpx

100 premis jalankan kegiatan judi ‘bergelap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak polis dengan kerjasama TNB memotong bekalan elektrik sebuah premis di sekitar Semabok, Melaka, hari ini.

MELAKA – Sebanyak 100 premis dipercayai menjalankan kegiatan judi di negeri ini ‘bergelap’ selepas bekalan elektrik dipotong pihak berkuasa dalam beberapa siri serbuan bersepadu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil risikan sebanyak 100 buah premis dikesan menjalankan aktiviti judi sejak awal tahun ini.

Katanya, mengikut pecahan sebanyak 65 premis adalah dalam daerah Melaka Tengah, diikuti Jasin 18 dan Alor Gajah 17.

“Kita telah mengambil tindakan memotong bekalan elektrik ke atas 100 buah premis dalam tempoh tujuh bulan sejak Januari lalu selepas disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian.

“Pemotongan dilakukan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) dengan tujuan mengelakkan premis berkenaan aktif semula dan terus menjalankan aktiviti perjudian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar selepas operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mengulas lanjut beliau berkata, premis-premis itu masih menggunakan modus operandi berselindung di sebalik perniagaan barangan telefon bimbit bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan polis juga mendapati, kesemua premis tersebut pernah diserbu beberapa kali sebelum ini tetapi pemilik dan penjaga premis masih berdegil.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 60 laman sesawang berkaitan telah diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) bagi tujuan sekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI