KESEDARAN masyarakat untuk memiliki telekung selesa bagi menjaga aurat ketika solat dengan bentuk muka yang berpadanan, kain berkualiti tinggi, sedap dipakai dan tambahan sulaman supaya lebih cantik memberi kelebihan kepada syarikat Siti Khadijah Sdn. Bhd.
Memiliki pengalaman 13 tahun dalam bidang tersebut, pengasasnya, Siti Padzilah Enda Sulaiman telah membangunkan empayar tersendiri dengan menggabungkan kepakaran anak tempatan melalui kajian dan penyelidikan bagi menghasilkan produk telekung berjenama Siti Khadijah (SK) yang memenuhi permintaan perubahan cita rasa serta gaya hidup masyarakat.
Kini, jenama itu bukan sekadar menawarkan telekung, malah secara berperingkat-peringkat memperluas penawaran produk kepada segmen lain termasuk untuk golongan lelaki, pakaian Muslimah, sejadah dan pelbagai lagi.
Seiring perubahan ekonomi yang mula kembali rancak, SK terus aktif meluaskan rangkaian pemasarannya melalui pembukaan butik di lot-lot komersial dan juga pusat beli-belah.
“Kami kini lebih berani untuk membuka butik fizikal bagi menambah cawangan baharu kerana pendapatan daripada jualan butik fizikal melebihi jualan online,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di cawangan terbaharunya di butik SK Ampang Point, Ampang baru-baru ini.

KOSMO!: Adakah impian awal Puan semasa mula berniaga pada 13 tahun dahulu telah tercapai sekarang?
SITI Padzilah: Ya, memang sebelum ini saya memasang impian untuk menaikkan jenama SK di seluruh negara supaya nama SK meniti di setiap bibir wanita. Sekarang ia telah menjadi kenyataan yang mana selain untuk pemakaian diri sendiri, SK turut dijadikan hadiah untuk hari jadi dan juga hantaran.
SK sinonim dengan telekung kerana ia jenama telekung premium yang berkualiti. SK berbaloi dimiliki bukan sahaja kerana jenama, tetapi bentuk mukanya yang berpadanan serta selesa selain jahitan bermutu tinggi.
Satu kelebihan SK ialah ia turut dikenali oleh golongan kanak-kanak, apa rahsia puan?
Pada asalnya saya memfokuskan kepada kumpulan sasaran iaitu golongan wanita dewasa dan ibu-ibu, tetapi bila anak-anak kecil kini sudah sedia maklum akan jenama kami, ia satu bonus buat syarikat. Ini adalah anugerah buat saya, hasil kerja kuat pasukan.
Dahulu saya ingat akan menguruskan perniagaan ini sendirian, tetapi apabila syarikat berkembang maju, saya mula ambil ramai orang untuk bekerja. Melalui orang-orang hebat inilah nama SK semakin popular dan berkembang hingga ke luar negara.
Berapa ramai pekerja SK?
Sekarang kami mempunyai kira-kira 400 pekerja di seluruh negara dan lebih kurang 300 orang lagi di Indonesia kerana kami turut memiliki kilang di sana. Pekerja di sana fokus untuk menjahit sulaman.
Sepanjang berniaga, apakah cabaran terbesar yang dihadapi?
Ia berbeza-beza mengikut zaman, dahulu saya menghadapi kesukaran untuk menjual barang dan mendapatkan pekerja berbakat.
Namun bagi saya, cabaran terbesar adalah ketika negara dilanda pandemik kerana kami tidak bersedia langsung untuk perniagaan online. Hanya 10 peratus jualan kami adalah menerusi online dan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, 44 cawangan SK semuanya terpaksa ditutup.
Bagaimanapun ada hikmah di sebalik semua ini kerana kami dapat mengaktifkan dan memperkukuh bahagian online syarikat. Kami begitu aktif mempromosi produk dalam talian sehingga berlaku kesesakan trafik di platform online syarikat kerana pada masa itu, kami memiliki banyak stok untuk jualan pada hari raya. Sehingga sekarang jualan online terus menyumbang kepada pendapatan Kumpulan.

Apa perancangan terbaharu SK?
Semasa pandemik, semua orang mahu memberi tumpuan kepada perniagaan online dan kami juga berpendapat mahu mengurangkan fokus terhadap perniagaan butik fizikal. Tetapi apabila negara dalam peralihan endemik, kami dapati jualan di butik fizikal telah melebihi jualan online.
Saya rasa kita masih belum bersedia untuk perniagaan online dan mind set pelanggan lebih suka ke butik fizikal untuk melihat serta merasai sendiri kualiti kain telekung yang lembut, selesa serta sedap dipakai. Bila di jual di online mereka cuma dapat lihat sahaja.
Mungkin juga perniagaan online lebih sesuai untuk bidang lain dan kami juga terpaksa ikut trend semasa. Bagaimanapun kami kini memberi dua pilihan kepada pengguna sama ada di platform online atau di butik fizikal.
Adakah Puan bersedia menyerahkan perniagaan sepenuhnya kepada anak-anak?
Sebenarnya saya sudah berkali-kali menyerahkan operasi perniagaan kepada anak-anak, tetapi masa itu mereka belum bersedia lagi dan belum matang, jadi saya terpaksa ambil alih semula.
Sekarang saya yakin mereka boleh ambil alih perniagaan ini. Saya akan memantau, menasihati serta memberi idea untuk menambah baik operasi. Pun begitu, saya tidak melepaskan sepenuhnya kepada mereka.
Adakah produk SK kini dieksport dan menyasarkan pasaran baharu?
Produk SK telah dijual di Brunei dan Singapura. Kami akan berkembang bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, malah pergi lebih jauh. Telekung SK bukan hanya untuk pengguna Nusantara sahaja kerana ia turut mendapat permintaan di pasaran global.














