fbpx

Liga Premier: Kelantan FC benam Kuching City FC 2-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Kelantan FC, Nixon Guylherme (dua dari kiri) meraikan jaringan gol pertama bersama rakan sepasukan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Kelantan FC terus menerajui saingan Liga Premier apabila berjaya menewaskan Kuching City FC dengan jaringan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.

Perlawanan seimbang dalam tempo sederhana dengan kedua-dua pasukan dilihat berhati-hati mengatur serangan ke kubu masing-masing sebaik perlawanan dimulakan.

Kem tuan rumah mengambil langkah untuk membuat dua pertukaran awal pada separuh masa pertama dengan memasukkan penyerang, Nixon Guylherme Rocha Brizolara dan pemain tengah, Shahrul Igwan Samsudin.

Pertaruhan Ketua jurulatih skuad The Red Warriors (TRW), Rezal Zambery Yahya itu dilihat berjaya mengubah rentak permainan pasukan tuan rumah yang dilihat lebih yakin mengatur serangan.

Tuah berpihak kepada Kelantan FC apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan dengan baik oleh Nixon Guylherme pada masa kecederaan separuh masa pertama

Situasi kecoh seketika sehingga penyerang Kuching City FC, Abu Kamara diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua selepas melakukan provokasi di bangku simpanan Kelantan FC.

Pengadil perlawanan, Muhammad Almi Abdullah dapat mengawal keadaan sebelum menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan semasa 1-0.

TRW terus mengasak kubu lawan sebaik wisel separuh masa kedua dibunyikan.

Pemain tengah Kelantan FC, Mohamad Ikhwan Yazek berjaya menyudahkan bola umpanan Syed Sobri Syed Mohd dengan satu rembatan lerek menewaskan penjaga gol lawan, Shaiful Wazizi Mohammad pada minit ke-73.

Kedudukan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat perlawanan dan kedudukan itu menyaksikan TRW terus menerajui Liga Premier manakala Kuching City FC pada tangga keempat liga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI