fbpx

Polisi GEG bakal jejas pendapatan peniaga di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Isu berkaitan polisi Dasar Penamat Generasi (GEG) yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini terus menjadi perbualan hangat oleh pelbagai pihak khususnya yang terlibat dalam industri vape.

Kali ini,  Dewan Perniagaan Cina Langkawi turut bersuara agar Kerajaan mengkaji semula polisi tersebut kerana ia boleh mengekang sumber pendapatan utama pengusaha perniagaan yang berpusatkan industri pelancongan.

Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Langkawi, Ku ​​Chin Loon berkata, pengendali perniagaan di pulau pelancongan itu  akan mengalami lebih banyak kerugian jika rang undang-undang tembakau diluluskan. 

“Kita akan kehilangan bukan sahaja jualan produk tertentu tetapi juga barangan lain. Kedatangan pelanggan pasti akan berkurangan. Impaknya akan menjadi lebih ketara bagi pengendali yang hanya pakar dalam produk terpilih.”

“Selain itu, kebanyakan daripada kami baharu beransur pulih daripada kesan selepas Covid-19 dan kini terpaksa berdepan pula dengan keputusan Kerajaan untuk mengenakan duti eksais ke atas rokok di kawasan bebas cukai. 

“Pengharaman rokok sepenuhnya akan mengurangkan pendapatan kami dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Chin Loon menerangkan, peruncit di kawasan bebas cukai memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi. 

“Perniagaan kami telah berjaya meningkatkan industri pelancongan tempatan sambil menarik pelabur domestik dan antarabangsa untuk melabur dalam pelbagai industri, mewujudkan peluang pekerjaan. 

“Malaysia, sebagai salah satu hab pelaburan kegemaran, tidak lagi menarik kerana polisinya yang menyekat pertumbuhan perniagaan,” ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan harus memahami bahawa pelaksanaan dasar perlu disesuaikan mengikut negara masing-masing dan sebagai contoh,  Malaysia mempunyai kelaziman rokok haram yang tinggi hampir 60 peratus berbanding New Zealand yang juga merancang untuk mengenakan rang undang-undang yang sama. 

Rang undang-undang itu mungkin terpakai kepada New Zealand kerana ia mempunyai lebih sedikit sekatan dan lebih penting lagi kelaziman rokok haram yang sangat rendah.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli parlimen, terutama mereka yang berada di kawasan perlindungan bebas cukai seperti Langkawi, Labuan, Pangkor dan Tioman untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka mengenai rang undang-undang berkenaan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI