fbpx

Melaka sedia pinda perlembagaan, laksana enakmen Anti Lompat Parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULAIMAN Md. Ali ketika sidang akhbar Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kerajaan negeri bersedia meminda perlembagaan negeri bagi menguatkuasakan enakmen Anti Lompat Parti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau menyokong usaha berkenaan dan menunggu Rang Undang-Undang (RUU) di peringkat Parlimen dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu.

Jelas beliau, setiap negeri diberi masa untuk menguatkuasakan enakmen berkenaan bagi menjamin kestabilan politik dan memelihara mandat rakyat.

“Saya menyokong (akta anti lompat parti), Parlimen juga sudah selesai dan tunggu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Ada time frame (masa) diberikan kepada negeri-negeri untuk turut serta RUU ini dan saya bersedia (pinda perlembagaan).

“Nak kata saya tidak bersedia, saya mesti bersedia. Kalau tidak dah lama saya angkat (laksanakan) dan kalau Melaka boleh angkat dulu, kita angkat,” katanya dalam sidang akhbar ketika Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara di sini, hari ini.

Semalam, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat melompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga.

Sementara itu, tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri masing-masing secepat mungkin, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Sulaiman memaklumkan, cadangan untuk melaksanakan enakmen anti lompat parti telah dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun perkara itu tidak dapat dilaksanakan selagi Parlimen tidak meluluskan RUU berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI