fbpx

WHO isytihar cacar monyet darurat global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wabak cacar monyet kini telah dikesan di 75 buah negara di seluruh dunia. - EPA

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet yang menjangkiti hampir 17,000 orang di 74 negara sebagai darurat kecemasan kesihatan global sekali gus tahap amaran tertinggi agensi antarabangsa berkenaan.

“Saya membuat keputusan bahawa wabak cacar monyet merupakan darurat kesihatan awam yang mencetuskan kebimbang masyarakat antarabangsa,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu sidang akhbar.

Beliau berkata, jawatankuasa  pakar-pakar kesihatan yang bermesyuarat Khamis lalu gagal mencapai konsensus, justeru keputusan  mengisytiharkan amaran tertinggi itu terletak di tangannya.

“WHO menilai cacar monyet sebagai wabak global sederhana melibatkan semua kawasan kecuali  rantau Eropah di mana risikonya adalah tinggi,” kata Tedros.

Lebih 16,800 orang di 74 negara terjejas akibat cacar monyet, demikian menurut perangkaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang disiarkan Jumaat lalu.

Washington menyambut baik deklarasi WHO itu sebagai ‘gesaan kepada masyarakat dunia untuk menghentikan penularan virus itu.’

“Penyelarasan tindak balas antarabangsa perlu untuk menghentikan penyebaran cacar monyet, melindungi komuniti paling berisiko dan memerangi wabak semasa,” kata Pengarah Kanan  Divisyen  Keselamatan Kesihatan Global dan Pertahanan Bio White House, Raj Panjabi.

Lonjakan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei lalu di luar negara-negara Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu adalah endemik.

Secara keseluruhan, 98 peratus individu  dijangkiti merupakan lelaki gay atau biseksual, manakala satu pertiga daripada mereka pula mengunjungi premis seks seperti parti seks atau sauna pada bulan sebelumnya.

Tedros sebelum ini menyuarakan kebimbangan wabak itu sukar untuk dikesan berikutan stigma terhadap pesakitnya.

“Wabak ini tertumpu kepada lelaki gay khususnya mereka yang mempunyai berbilang pasangan. Ini bermakna cacar monyet boleh dihentikan sekiranya kita menggunakan strategi yang betul dalam kumpulan sasaran yang betul,” katanya kelmarin.

Tedros menggesa semua negara supaya bekerjasasma rapat dengan komuniti gay, mewujudkan dan melaksanakan perkhidmatan sebaran maklumat secara berkesan dan mengambil langkah melindungi komuniti yang terjejas.

Pada 23 Jun lalu, WHO mengadakan mesyuarat tergempar untuk memutuskan sama ada cacar monyet layak dikategorikan sebagai Darurat Kesihatan Awam yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa sekali gus amaran peringkat tertinggi agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu.

Bagaimanapun, majoriti pakar kesihatan yang menyertai mesyuarat tergempar WHO menasihati Tedros bahawa situasi cacar monyet belum sampai ke peringkat tersebut.

Mesyuarat kedua diadakan Khamis lalu ketika kes cacar monyet terus meningkat dan membimbangkan Tedros.

“Saya perlukan nasihat anda semua untuk menilai implikasi segera dan sederhana wabak cacar monyet terhadap kesihatan awam,” kata Tedros pada mesyuarat itu yang berlangsung lebih enam jam.

Menyerupai penyakit cacar, cacar monyet pertama kali dikesan dalam kalangan manusia pada tahun 1970. Cacar monyet adalah kurang berbahaya berbanding penyakit cacar yang dihapuskan dalam tahun 1980.

Sebanyak 95 peratus kes cacar monyet berjangkit menerusi aktiviti seksual, demikian menurut kajian melibatkan 528 pesakit di 16 buah negara yang disiarkan dalam penerbitan New England Journal of Medicine.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Kesatuan Eropah mencadangkan kelulusan penggunaan vaksin cacar, Imvanex untuk merawat cacar monyet.

Imvanex yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Denmark, Bavarian Nordic diluluskan untuk diguna di Kesatuan Eropah sejak tahun 2013 untuk mencegah wabak penyakit cacar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI