fbpx

Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia, fokus belia dan OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (empat kiri) melakukan gimik perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di WTC di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Melihat kepada penglibatan dan sumbangan generasi muda penting dalam memperkukuh semangat Keluarga Malaysia, kerajaan telah menyediakan inisiatif kepada golongan belia seperti Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif tersebut merangkumi dua program utama iaitu Program Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) bagi meningkatkan kebolehpasaran belia dalam pasaran buruh.

“Selain itu, kerajaan juga menumpukan kepada pembangunan bakat masa hadapan dengan menjadikan agenda ini sebagai pemangkin dasar utama di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Bagi memperhalus usaha ini, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah dikenal pasti oleh kerajaan sebagai pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri,” jelasnya ketika berucap merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Ismail Sabri, selain golongan belia, kerajaan juga mengambil berat terhadap kesejahteraan dan kualiti hidup golongan orang kelainan upaya (OKU) melalui Pelan Tindakan OKU 2016-2022 memberi penekanan terhadap aspek penyediaan peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Sehingga kini, seramai 36,281 OKU berjaya mendapat penempatan pekerjaan menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PERKESO.

“Saya juga berharap program pemerkasaan ekonomi bertujuan menarik penyertaan golongan OKU dalam dunia keusahawanan wajar dipergiat, seiring Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, sehingga 18 Julai tahun ini, Program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia.

Namun jelas beliau, disebabkan suasana dunia yang tidak menentu ketika ini, kerajaan setuju melanjutkan tempoh program JKIP yang berakhir pada 30 Jun lalu kepada 31 Disember ini.

“Lanjutan Program JKIP ini akan menumpukan kepada pengambilan pekerja dalam kategori mudah terjejas seperti golongan OKU, wanita, individu yang hilang pekerjaan, pekerja dalam sektor pelancongan dan bekas banduan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI