fbpx

Kenderaan Muhammad Iman Aqmar ditemui seorang pekerja ladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang ditemukan seorang lelaki berjaya dibawa naik daripada sungai di Pekan hari ini.

PEKAN – Mayat seorang lelaki yang hilang sejak Oktober tahun lalu ditemukan selepas seorang penunggang motosikal ternampak objek seperti bumbung kenderaan di dalam sungai ketika membuang sebatang besi ke tepi sungai.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, lelaki berusia 60 tahun yang merupakan pekerja ladang itu pada mulanya memberhentikan motosikal bagi mengalihkan sebatang besi yang berada di jalan raya.

“Ketika membuang batang besi berkenaan pengadu ternampak satu objek seperti bumbung kenderaan yang berada didalam sungai dan pengadu telah menghubungi Balai Polis Nenasi.

“Susulan itu usaha menaikkan kenderaan berkenaan dilakukan menggunakan jengkaut dan lori penunda sebelum dapat dikeluarkan daripada sungai pada pukul 4.40 petang,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan satu rangka mayat yang diselaputi lumpur sungai, selain turut dijumpai pas pekerja ‘oil&gas safety pasport’ atas nama Iman Aqmar dan kad CIDB di atas nama Muhammad Iman Aqmar.

Katanya, rangka mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Pekan untuk siasatan lanjut,”katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu mendapati ia merupakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Grand Livina bernombor pendaftaran WWF 3187 yang didaftarkan atas nama Asmawati Kadir.

Katanya, penama telah membuat dua laporan polis pada 30 Oktober 2021 dan 2 Jun 2022 berkaitan kehilangan anak lelakinya yang gagal dihubungi selepas keluar dari rumah pada 29 Oktober tahun lalu.

“Pemilik kenderaan telah dihubungi dan diminta untuk hadir ke IPD Pekan bagi tujuan pengecaman ke atas kenderaan, pakaian serta dokumen yang dijumpai bersama si mati.

“Bedah siasat akan dilakukan oleh patalogi Hospital Kuantan dan spesimen si mati akan dihantar ke jabatan kimia bagi tujuan pengesahan identiti si mati,”ujarnya.

Pada 2 November tahun lalu Kosmo! melaporkan seorang ibu, Azmawati Ab. Kadir,54, dari Taman Air Biru di Johor masih kebingungan dengan nasib menimpa anak lelakinya yang dilaporkan hilang sejak 29 Oktober tahun lalu ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.

Azmawati berkata, anaknya Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain,24, sebelum itu sempat balik ke kampung di Pasir Gudang untuk menjenguk keluarga selain ingin menukar kenderaan.

Selepas keluar dari rumah menuju ke Terengganu, Muhammad Iman Aqmar gagal dihubungi menyebabkan Azmawati membuat dua laporan polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI